KUALA LUMPUR, 26 September 2026 – Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan berhubung keperluan mengkaji semula penganjuran acara larian di ibu negara bagi mengelakkan gangguan trafik terus mengundang reaksi pelbagai pihak.
Tampil menyuarakan pandangan, Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Ghulam Mustakim menegaskan bahawa penganjur tidak seharusnya dipersalahkan sekiranya berlaku penutupan jalan raya berskala besar.
Menurut beliau, setiap penutupan jalan bagi sebarang acara umum tertakluk sepenuhnya kepada kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
”YB Menteri WP tahu ke yang luluskan penutupan jalan raya itu ialah DBKL dan PDRM, bukannya pihak penganjur?
”Selalunya bila sesuatu penganjuran dipohon, beberapa jabatan di DBKL akan menyemak kertas kerja acara serta cadangan dengan kesesuaian program sebelum ia diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, prosedur operasi standard (SOP) berkenaan penganjuran acara dan penutupan jalan di ibu kota bukanlah perkara baharu, sebaliknya telah diguna pakai sejak sekian lama.
Mengulas lanjut, Gulam secara sinis mencadangkan agar pihak berkuasa menetapkan lokasi alternatif khusus sekiranya penutupan jalan terus dianggap sebagai masalah berpanjangan.
Beliau mencadangkan agar DBKL dan PDRM selepas ini hanya membenarkan sebarang acara larian diadakan di taman-taman tasik atau stadium sekitar Kuala Lumpur.
Langkah itu, jelasnya, wajar memandangkan lokasi terbabit sudah dilengkapi trek joging sedia ada serta tidak mengganggu kelancaran aliran trafik awam.
Malah, beliau turut mencabar pihak kementerian agar mewartakan sahaja jalan-jalan raya di Kuala Lumpur sebagai kawasan larangan bagi sebarang acara larian.
”Gazzettekan sahaja jalan-jalan raya di Kuala Lumpur sebagai kawasan larangan bagi acara larian seperti YB Menteri WP berani dan tegas gazzettekan kawasan hijau demi rakyat KL,” tegasnya.
Dalam pada itu, Gulam turut mempersoalkan ketegasan dasar kementerian tersebut sekiranya melibatkan aktiviti perhimpunan jalanan pada masa akan datang.
”Akhir kata, cuma saya ingin bertanya kalau Himpunan Bersih nak buat demonstrasi jalanan sambil duduk dan berbaring serta bercadang menutup beberapa jalan raya, adakah YB Menteri WP benarkan juga?” soalnya mengakhiri kenyataan.
#BeritaAAC #KualaLumpur #TutupJalanKL #GulamMuszaffar #IsuSemasaKL