
KUALA LUMPUR, 25 September 2026 – Kebimbangan terhadap isu ketagihan peranti pintar dan pendedahan melampau cahaya biru (blue light) dalam kalangan kanak-kanak mendorong Holista Biotech Sdn Bhd bersama Persatuan Kesihatan Integratif Malaysia (MIHA) melancarkan kempen advokasi kebangsaan bertajuk “Screen-Free Futures: Protecting Malaysia’s Children” sempena sambutan ulang tahun ke-25 jenama PRISTIN di Avenue K.
Kempen ini diwujudkan bagi memberi kesedaran kepada ibu bapa dan komuniti mengenai impak buruk pendedahan gajet terhadap perkembangan fizikal serta mental anak-anak, selain menyokong matlamat Dasar Kanak-Kanak Negara 2026–2030 di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menerusi ucaptama video menegaskan bahawa pencegahan bermula dari rumah dan sekolah di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat. Jelas beliau, walaupun kerajaan telah mengetatkan keselamatan digital—termasuk larangan akaun media sosial bagi bawah 16 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian—usaha menjadikannya persekitaran yang sihat bergantung sepenuhnya kepada teladan ibu bapa.

Pengarah Holista Biotech, Dato’ Dr. Rajen M. mendedahkan statistik membimbangkan di mana kanak-kanak di Malaysia kini menghabiskan masa purata empat jam sehari pada hari biasa dan sehingga enam jam pada hujung minggu di hadapan skrin gajet.
Menurut beliau, pancaran cahaya biru bukan sahaja mengganggu tidur dan mencetuskan mimpi ngeri, malah kajian terbaharu di Eropah mendapati bahagian otak yang tidak dirangsang akibat ketagihan skrin boleh mengalami pengecutan (shrinking), terutamanya pada enam tahun pertama usia kanak-kanak.

Isu penglihatan turut berada pada tahap kritikal apabila dianggarkan seorang daripada tiga murid kini terpaksa memakai cermin mata seawal Tahun Satu akibat rabun jauh (myopia), selain risiko katarak dan glaukoma pramatang akibat kerosakan lapisan mata.
Dr. Rajen turut menasihati ibu bapa agar menghentikan tabiat memberi telefon pintar atau iPad semata-mata untuk mendiamkan anak yang meragam atau ketika waktu makan. Kanak-kanak perlu didedahkan kepada rangsangan sensori sebenar seperti menikmati rasa, bau dan warna makanan serta berinteraksi secara aktif bersama keluarga.
Sebagai saranan permulaan, pihak penganjur menggesa setiap keluarga memperuntukkan sekurang-kurangnya satu jam masa bebas skrin setiap hari untuk aktiviti riadah di luar, berbual dan membina pertumbuhan anak-anak secara holistik.
Kempen yang turut mendapat sokongan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan tadika bebas skrin, Graceful Hands ini, bakal diperluaskan ke negeri-negeri lain termasuk Pulau Pinang, Johor dan Sarawak bagi memperkasakan advokasi kesihatan generasi muda negara.
#ScreenFreeFutures #KesihatanKanakKanak #BahayaGajet #BeritaAAC #HolistaPRISTIN