KUALA LUMPUR, 2 Oktober 2026 – Fakta dan undang-undang berkaitan tadbir urus sesebuah pentadbiran tidak sewajarnya dipersenda atau dijadikan bahan permainan oleh mana-mana pihak demi kepentingan tertentu, tegas Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mohd Razlan Rafii.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, penerangan jelas daripada pakar perlembagaan dan barisan panel wajar dijadikan sandaran bagi memastikan kestabilan serta kelancaran pentadbiran dapat diteruskan.
Menurut beliau, kerajaan hari ini perlu menunjukkan tahap kebijaksanaan yang tinggi dengan meletakkan kepentingan kebajikan rakyat Negeri Sembilan sebagai keutamaan tertinggi berbanding melayan polemik politik berpanjangan.
Razlan menegaskan, mandat yang diperoleh oleh kerajaan negeri merupakan kerajaan majoriti dua pertiga dan mandat besar ini wajib dipulangkan semula kepada rakyat menerusi penyampaian khidmat yang berkesan.
”Jangan kita lambat-lambatkan lagi polemik ini. Mandat itu mestilah dipulangkan kepada rakyat untuk berkhidmat kepada mereka dan bukannya membiarkan urusan pentadbiran tergantung,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa operasi dan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) perlu berjalan lancar seperti sedia kala tanpa sebarang halangan yang tidak sepatutnya.
Tambah beliau, pihak berkuasa berkaitan perlu memastikan gerak kerja pentadbiran dapat diteruskan dengan kadar segera demi menyelesaikan urusan harian serta keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Jelas Razlan lagi, terdapat pelbagai perkara kritikal yang memerlukan keputusan segera di peringkat Exco, antaranya membabitkan pelantikan ketua kampung serta urusan permohonan dan pertukaran tanah.
Beliau memberi peringatan bahawa kelewatan dalam membuat ketetapan dasar hanya akan menjejaskan kehidupan masyarakat dan membantutkan agenda pembangunan negeri.
Justeru, beliau menggesa semua pihak supaya membiarkan jentera kerajaan Negeri Sembilan berfungsi secara optimum tanpa sebarang gangguan yang merugikan rakyat.
#BeritaAAC #RazlanRafii #PolitikNegeriSembilan #UMNO #SuaraRakyat