KUALA LUMPUR, 2 Oktober 2026 – UMNO bersikap terbuka sekiranya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersedia untuk bertanding menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, langkah tersebut dilihat wajar dipertimbangkan sekiranya ia membawa kebaikan bersama kepada agenda penyatuan ummah.
Menurut beliau, sebarang ketetapan rasmi mengenai perkara itu bagaimanapun akan diputuskan di peringkat kepimpinan tertinggi parti kelak.
”Kita terbuka untuk PAS menggunakan (logo BN), saya rasa keputusan akan dibuat di peringkat Majlis Tertinggi,” katanya ketika ditemui wakil media baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ketua UMNO Bahagian Seputeh itu menegaskan bahawa strategi tersebut berpotensi memaksimumkan peluang kemenangan di kerusi-kerusi yang bakal ditandingi di Melaka.
”Bagi pandangan saya, sekiranya ia memberikan kebaikan kepada penyatuan ummah dan dapat memenangi lebih banyak kerusi di Melaka ini, why not (mengapa tidak)?,” jelas beliau.
Razlan berpandangan, persefahaman dan penyatuan politik sedemikian bukan sahaja dinilai secara positif oleh pengundi Melayu, malah turut mendapat penerimaan masyarakat majmuk.
Beliau menambah, sentimen semasa menunjukkan pengundi daripada pelbagai latar belakang kaum kini semakin bersedia untuk memberikan sokongan padu kepada BN serta gabungan bersama PAS.
”Yang paling penting hari ini, orang Melayu melihat perkara itu adalah satu perkara yang positif.
”Bukan hanya orang Melayu, kalau kita tengok bangsa-bangsa lain pun sebenarnya sekarang ini dah bersedia untuk menyokong Barisan Nasional dan juga PAS,” katanya.
Kenyataan ini memberi isyarat positif terhadap dinamik politik menjelang PRN Melaka, sekali gus membuka ruang kepada perbincangan lanjut di peringkat kepimpinan tertinggi kedua-dua parti berhubung strategi penggunaan lambang bersama.
#PRNMelaka #BarisanNasional #UMNO #PenyatuanUmmah #BeritaAAC