KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2026 – Keputusan mengejutkan empat Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan mencetuskan persoalan besar terhadap kestabilan dan keutuhan parti yang kini menerajui pentadbiran negara.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Dato’ Mohd Razlan Rafii menegaskan bahawa perkembangan ini bukan perkara kecil dan kepimpinan PKR bertanggungjawab memberi penjelasan telus kepada rakyat mengenai apa yang sebenarnya sedang berlaku di peringkat dalaman parti.
Menurut beliau, tindakan wakil rakyat melepaskan kerusi Parlimen sebelum tempoh penggal berakhir adalah perkara luar biasa, apatah lagi ia melibatkan wakil rakyat daripada parti tunjang kerajaan hari ini.
Razlan menyifatkan episod ini melangkaui sekadar isu jawatan atau keahlian parti biasa, sebaliknya membayangkan wujudnya ketidaktentuan politik yang semakin meruncing dalam pentadbiran sedia ada.
Tindakan drastik berkenaan turut disifatkan sebagai isyarat serius mengenai berlakunya keretakan kepercayaan yang mendalam terhadap pucuk pimpinan parti serta Perdana Menteri.
Situasi tersebut dijangka bertambah panas apabila kumpulan bekas Ahli Parlimen terbabit dilaporkan bersepakat untuk menganjurkan siri jelajah ke seluruh negara bagi membuat pendedahan terbuka.
Jelajah tersebut dikatakan bakal membongkar isu dalaman, kepincangan pentadbiran parti, serta aspek tatakelola kerajaan yang didakwa bermasalah sepanjang menerajui pentadbiran.
Mengulas perkara itu, Razlan mengingatkan Putrajaya agar tidak mengambil jalan mudah dengan menepis segala dakwaan berkenaan semata-mata sebagai serangan politik murahan.
Beliau menuntut pihak pentadbiran mengemukakan bukti kukuh sekiranya dakwaan tersebut tidak berasas, atau berlapang dada mengakui kelemahan dan membetulkannya demi hak rakyat untuk mengetahui kebenaran.
Tegasnya, secara moral kerajaan pimpinan Pakatan Harapan kini dilihat telah kehilangan kepercayaan bukan sahaja daripada rakyat marhaen, malah daripada pimpinan mereka sendiri.
Mengambil kira pentadbiran semasa yang kini mencecah tempoh empat tahun penggal pemerintahan, beliau menegaskan sudah tiba masanya mandat dikembalikan sepenuhnya kepada rakyat jika kerajaan masih berkeyakinan tinggi terhadap sokongan majoriti.
”Jika kerajaan yakin masih mendapat kepercayaan rakyat, kembalikan mandat kepada rakyat… biarlah rakyat membuat keputusan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
#PolitikMalaysia #BubarkanParlimen #BeritaAAC #KerajaanPerpaduan #MandatRakyat