
KUALA LUMPUR – Semangat juang dan kesetiaan terhadap perjuangan parti terbukti tiada sempadan apabila bekas Setiausaha Agung Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Saudara Rosli Idris, berjaya mengibarkan bendera parti itu di Kem Pangkalan Everest (Everest Base Camp – EBC).
Kejayaan menjejakkan kaki di altitud 5,364 meter dari aras laut itu sekali gus menyaksikan panji keramat PUTRA berkibar megah sebaris dengan Jalur Gemilang di salah satu banjaran gunung paling mencabar di dunia.

Pencapaian luar biasa ini menyusul selepas kejayaan beliau sebelum ini yang pernah menawan puncak Gunung Kilimanjaro di Tanzania, puncak tertinggi di benua Afrika.
Ketua Penerangan PUTRA, Shahrulufti Sharif berkata, tindakan Rosli itu membuktikan kebanggaan dan komitmen beliau yang tidak pernah luntur terhadap wadah perjuangan parti.
Menurut Shahrulufti, dalam setiap ekspedisi dan langkah pendakian lasak yang ditempuh, Rosli sentiasa membawa nama Presiden PUTRA, Dato’ Dr. Ibrahim Ali, sebagai sumber inspirasi perjuangan.
Beliau menegaskan, ketabahan yang dipamerkan oleh Rosli wajar dijadikan teladan dan wajar diberi penghormatan tertinggi oleh seluruh ahli dan kepimpinan parti.
”Semangat beliau harus diberi penghormatan sebagai simbol keberanian, kesetiaan, dan kebanggaan bangsa,” ujar Shahrulufti dalam satu kenyataan media.
Beliau menambah, ekspedisi mencabar fizikal dan mental di kawasan beraltitud tinggi berkenaan bukan sahaja membawa nama peribadi pendaki, malah mencerminkan kecekalan semangat Bumiputera.
Kejayaan ini juga secara tidak langsung membawa mesej bahawa nilai perjuangan dan ketahanan yang dibawa PUTRA mampu melangkaui sempadan politik tanah air hingga ke persada antarabangsa.
Pihak kepimpinan penerangan parti menyifatkan usaha murni tersebut selari dengan doktrin dan cogan kata parti, ‘PUTRA Perkasa Negara’, yang menuntut daya juang kental dalam menghadapi apa jua rintangan.
Kejayaan di EBC ini dijangka terus membakar semangat seluruh saf kepimpinan dan akar umbi PUTRA dalam meneruskan agenda perjuangan membela agama, bangsa, dan negara.
#BeritaAAC #PUTRA #EverestBaseCamp #SemangatJuang #IbrahimAli