KUALA LUMPUR, 2 Oktober 2026 – Gerakan Suara Rakyat Malaysia Sejahtera (SUARA RAKYAT) tampil menyatakan sokongan moral dan solidariti penuh terhadap Dato’ Seri Suhaili atas ketegasan serta integriti yang dipamerkan beliau dalam mengendalikan isu keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengerusi SUARA RAKYAT, Mohd Zai Mustafa menegaskan, pihaknya mengikuti rapat perkembangan semasa di pintu masuk utama negara itu yang disifatkan menyentuh secara langsung soal maruah, kedaulatan undang-undang, serta keselamatan nasional.
Menurut beliau, tindakan yang diambil oleh DS Suhaili berlandaskan prinsip kebertanggungjawaban, ketegasan, dan mengikut lunas undang-undang tanpa tunduk kepada sebarang tekanan daripada pihak berkepentingan.
”Apa yang dilakukan adalah cerminan tindakan seorang pegawai yang berani dan berintegriti. Negara ini memerlukan lebih ramai individu seperti beliau dalam memastikan undang-undang tidak dicabuli sesuka hati,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mengulas lanjut, Mohd Zai menegaskan bahawa ketegasan merupakan tunjang utama kepada integriti, khususnya apabila melibatkan pelanggaran undang-undang di pintu hadapan negara yang sama sekali tidak boleh dikompromi.
”Tegas bukan bermakna zalim, sebaliknya tegas bermakna mempertahankan kedaulatan negara daripada terus dipersoalkan,” jelas beliau lagi.
Dalam pada itu, SUARA RAKYAT turut memberi peringatan keras kepada mana-mana pihak agar tidak cuba menjadikan DS Suhaili sebagai ‘kambing hitam’ atau mangsa keadaan semata-mata untuk menutup kepincangan serta salah laku pihak lain.
Pihaknya menegaskan tidak akan teragak-agak untuk bersuara dan bangkit sekiranya wujud usaha terselindung bagi mengenakan tindakan tidak adil terhadap pegawai berkenaan.
Mohd Zai menambah, KLIA mencerminkan imej dan keselamatan Malaysia di mata dunia, justeru keberanian menegakkan undang-undang wajar dijadikan contoh dan bukannya dijadikan bahan kecaman oleh pihak tertentu.
#SolidaritiDSSuhaili #IsuKLIA #KeselamatanNegara #TegakkanIntegriti #BeritaAAC