KUALA LUMPUR , 4 Oktober 2026 – Kementerian Pendidikan dan kerajaan didesak mengambil tindakan drastik dan menyeluruh bagi membendung isu buli serta keganasan di sekolah dan asrama sebelum lebih banyak insiden tragis meragut nyawa pelajar berulang.
Timbalan Pengerusi Sekretariat Gerakan Suara Rakyat Malaysia Sejahtera, Mohd Amirul Redzuan Bin Amir menegaskan, perbuatan buli kini tidak lagi boleh dianggap sebagai kenakalan biasa, gurauan keterlaluan mahupun tradisi senioriti. Perlakuan mengugut, memukul serta menggunakan kekerasan fizikal meninggalkan kesan trauma yang parah, malah boleh berakhir dengan kehilangan nyawa.
Kebimbangan itu disokong data PISA 2025 yang mendedahkan sebanyak 27 peratus pelajar di Malaysia mengakui pernah menjadi mangsa sekurang-kurangnya satu bentuk buli beberapa kali dalam sebulan. Angka ini membuktikan isu keselamatan pelajar berada pada tahap kritikal dan bukan sekadar kes terpencil yang tular di media sosial.
Masyarakat baru-baru ini digemparkan dengan beberapa kejadian menyayat hati, antaranya kematian pelajar Tingkatan Dua, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, di sebuah asrama di Kuala Pilah pada September lalu. Terbaharu, negara dikejutkan dengan kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang ditemukan cedera parah di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, Batu Pahat selepas menghadiri kelas tambahan, yang menyaksikan tiga remaja ditahan bagi membantu siasatan.
Mohd Amirul berkata, walaupun kes melibatkan Irene Sofiya masih dalam siasatan polis dan puncanya belum dipastikan, rentetan tragedi berkenaan menimbulkan persoalan besar sama ada sistem pemantauan dan keselamatan sedia ada benar-benar mampu melindungi pelajar.
Sehubungan itu, pihaknya menggesa Kementerian Pendidikan menjalankan audit dan penilaian keselamatan menyeluruh di semua sekolah dan asrama, terutamanya di kawasan berisiko, waktu malam serta ketika aktiviti luar waktu persekolahan. Beliau turut menuntut saluran aduan yang benar-benar selamat diwujudkan agar mangsa dan saksi terlindung daripada sebarang ancaman balas.
Pada masa sama, guru dan warden asrama digesa lebih peka mengesan petanda awal mangsa buli serta menghapuskan sepenuhnya budaya senioriti yang bertindak ‘menghukum’ pelajar lain. Beliau turut mengingatkan agar pengaruh kandungan media ganas dalam kalangan remaja dipantau rapat menerusi intervensi kaunseling berterusan dan bukan sekadar tindakan reaktif selepas kejadian berlaku.
”Ibu bapa menyerahkan sebahagian besar amanah keselamatan anak-anak mereka kepada pihak sekolah. Jangan tunggu sehingga ada lagi keluarga yang meratapi kehilangan anak baru kita mahu memperbaiki kelemahan sistem; buli mesti dihentikan segera sebelum bertukar menjadi keganasan,” katanya dalam satu kenyataan media.
#HentikanBuli #KeadilanUntukPelajar #KeselamatanSekolah #SuaraRakyat #BeritaAAC