KUALA LUMPUR — Tindakan Kementerian Pengangkutan menangani isu tunggakan kutipan hasil kerajaan melibatkan penyedia perkhidmatan digital, MYEG/Zetrix, terus mengundang kritikan hebat pelbagai pihak.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar, tampil mempersoalkan ketelusan serta kelewatan tindakan kementerian berkenaan berhubung jumlah tunggakan rasmi yang mencecah sehingga RM314 juta.
Menurut beliau, penjelasan Menteri Pengangkutan hari ini yang menyangkal laporan awal dan menyatakan jumlah hutang tersebut terkumpul sejak Mei 2026 dan bukannya 2023, masih gagal meredakan keraguan orang ramai.
”Kementerian Pengangkutan sepatutnya mengambil tindakan undang-undang atau menyaman media Singapura jika laporan yang disiarkan mereka sebelum ini adalah maklumat palsu,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau melahirkan rasa terkejut apabila angka sebenar tunggakan itu rupanya jauh lebih besar daripada andaian awal RM200 juta, kini disahkan berjumlah RM314 juta hasil dana awam.
Gulam mempersoalkan mengapa tindakan tegas hanya mula diambil selepas hampir enam bulan pelanggaran kontrak dan obligasi bayaran berlaku, sedangkan dana berkenaan telah pun dikutip daripada rakyat.
Beliau turut membangkitkan ketiadaan pendedahan mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan tempoh masa kutipan wajib diserahkan kembali kepada akaun Perbendaharaan Negara.
Menurutnya, sekiranya tempoh kegagalan menyerahkan dana melebihi sebulan, perkhidmatan MYEG/Zetrix wajar ditamatkan serta-merta atas faktor keculasan dan pelanggaran amanah, biarpun sebanyak 35 notis peringatan telah dikeluarkan.
”Persoalannya, kenapa selepas enam bulan dan hanya selepas media Singapura membongkarnya barulah tindakan diambil, seolah-olah media tempatan sebelum ini didiamkan daripada menjadikannya isu negara?” soal beliau lagi.
Beliau menambah, persoalan sama ada RM314 juta hasil rakyat tersebut telah lesap atau disonglap wajar disiasat secara terperinci kerana ia melibatkan hasil negara yang dikhuatiri terjejas secara sistematik.
Mengaitkan isu berkenaan dengan kontroversi lain, Gulam menyindir bahawa sebelum reda isu dana RM200 juta KWAP, kini timbul pula polemik kehilangan hasil kutipan kerajaan melalui MYEG/Zetrix.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar Menteri Pengangkutan meletakkan jawatan atas kegagalan menangani isu MYEG/Zetrix ini sebagai langkah yang lebih berprinsip dan bermaruah.
#IsuMYEG #HasilNegaraRM314Juta #KementerianPengangkutan #GulamMuszaffar #BeritaAAC