KUALA LUMPUR, 2 Oktober 2026 – Teka-teki mengenai hubungan dua personaliti terkenal tanah air akhirnya terjawab apabila selebriti popular, Bella Astillah, dan tokoh politik muda, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengumumkan bakal melangkah ke jinjang pelamin tidak lama lagi.
Kisah penyatuan cinta dari dua latar belakang berbeza ini bakal diabadikan menerusi sebuah siri istimewa lapan episod bertajuk ‘Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq’ yang disiarkan secara eksklusif oleh Astro bermula 6 Oktober ini.

Program tersebut membawa penonton menyaksikan debaran kedua-dua pasangan membuat persiapan menjelang hari bahagia bersama keluarga, termasuk detik pertunangan, majlis khatam al-Quran, serta momen di sebalik tabir sebelum disatukan.
Kemuncak siri tersebut menyaksikan majlis akad nikah pasangan ini bakal disiarkan secara langsung pada 10 Oktober 2026 (Sabtu), jam 9 pagi bertempat di mercu tanda ikonik negara, Menara 118.
Siaran langsung selama dua jam itu boleh ditonton menerusi saluran Astro Ria, Astro Prima, Astro Awani serta platform digital terpilih termasuk Astro Gempak dan Sooka.

Bagi meraikan ikatan perkahwinan, sebuah majlis resepsi gilang-gemilang dijadualkan berlangsung secara langsung dari Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 18 Oktober 2026 bersama kenamaan dan insan tersayang.
Keraian cinta mereka tidak berhenti di ibu kota apabila dua lagi majlis resepsi bakal diadakan di Muar, Johor pada 25 Oktober bagi pihak keluarga Syed Saddiq, disusuli majlis di Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober buat keluarga serta kenalan Bella.
Bagi Bella, perkongsian detik bahagia ini amat bermakna kerana dapat meraikannya bersama anak-anak tercinta, Ayden dan Ara, serta seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa menitipkan doa terbaik buat mereka.
Sementara itu, Syed Saddiq turut menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas sokongan padu peminat dan pihak Astro yang merakam perjalanan baharu fasa hidup mereka secara eksklusif.
Menariknya, siri daripada episod lima hingga lapan turut memaparkan fasa kehidupan eksklusif pasangan ini selepas sah bergelar suami isteri, termasuk rutin harian mengurus keluarga serta persiapan bulan madu mereka.
Naib Pengerusi Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, menyifatkan kepercayaan yang diberikan oleh pasangan ini sebagai satu penghormatan besar untuk menghubungkan peminat dengan momen terindah kedua-dua personaliti tersebut.
Untuk rekod, siri eksklusif ‘Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq’ akan menemui penonton setiap Selasa pada jam 11 malam di Astro Ria serta boleh distrim menerusi Astro GO dan Sooka.
#BeritaAAC #BellaSaddiq #WalimatulurusBellaSaddiq #SyedSaddiq #BellaAstillah