
KUALA LUMPUR, 30 September 2026 – Legasi filem seram fenomena tanah air arahan Syamsul Yusof, Munafik, sekali lagi membuktikan impak luar biasanya di persada perfileman serantau apabila diadaptasi ke versi Indonesia dengan judul Munafik: Melawan Iblis.
Naskhah terbitan bersama Unlimited Production dan Skop Productions dengan sokongan Legacy Pictures, AZ Films, serta Komet Productions itu mencatat kejayaan membanggakan apabila semua tiket tayangan rasmi di Indonesia licin terjual menjelang tayangannya pada 3 September lalu.
Merekodkan kehadiran hampir 150,000 penonton pada hari pembukaan, filem tersebut terus melonjak ke takhta box office Indonesia sekali gus mengetepikan saingan beberapa judul antarabangsa lain. Kini, gelombang seram terbabit bersedia menghantui penonton Malaysia bermula 1 Oktober menerusi kerjasama Astro Shaw selaku rakan pemasaran tempatan.
Penerbit Eksekutifnya, Datuk Dr. Yusof Haslam meluahkan rasa syukur dan keterujaan atas sambutan luar jangkaan yang membuktikan bahawa mesej serta kekuatan naratif naskhah tersebut berjaya menembusi batas geografi penonton Nusantara.
”Lebih membanggakan, naskhah ini tidak sekadar diadaptasi semula, tetapi diberikan nafas dan identiti tersendiri yang berjaya menarik perhatian generasi penonton baharu. Apabila filem ini ditayangkan di Malaysia, saya berharap penonton tempatan dapat menerima Munafik: Melawan Iblis dengan keterbukaan yang sama, sekali gus mengulangi kejayaan terdahulu,” ujar beliau.
Di bawah sentuhan pengarah berkaliber Guntur Soeharjanto—yang terkenal menerusi karya pecah panggung seperti Ayat-Ayat Cinta 2 dan Makmum 2—filem ini menampilkan kelainan yang sarat emosi dengan menyoroti konflik dalaman seorang pengamal ruqyah, Ustaz Adam, yang hilang pedoman akibat tragedi meragut orang tersayang.
Memikul watak berat tersebut, pelakon popular Arya Saloka mendedahkan beliau menjalani persiapan rapi merangkumi pembelajaran ilmu ruqyah serta memperhalusi bacaan ayat suci Al-Quran, yang disifatkannya sebagai satu transformasi peribadi yang sangat bermakna sepanjang bergelar anak seni.
Sementara itu, gandingan utamanya, Acha Septriasa yang melakonkan watak Fitri, mengakui peranan berkenaan antara yang paling menguji ketahanan mental dan fizikal sepanjang dua dekad kariernya, termasuk menjayakan babak aksi ekstrem kerasukan dan merayap di dinding tanpa menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri.
Selain gandingan dua bintang utama itu, karya ini turut diperkuatkan oleh barisan pelakon handalan lain seperti Dimas Aditya, Faqih Alaydrus, Donny Damara, Widi Dwinanda, Annisa Hertami, Nova Eliza, Oce Permatasari, dan Elvira Devinamira.
#MunafikMelawanIblis #BeritaAAC #FilemSeram #AryaSaloka #SkopProductions