KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2026 – Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (LPMAS) Kampung Bharu memberi amaran tegas akan mengambil tindakan undang-undang serta menyekat sebarang aktiviti fizikal di kawasannya susulan tindakan unilateral beberapa pihak yang didakwa membelakangkan bidang kuasa pentadbiran tersebut.
Setiausaha Kehormat LPMAS, Shamsuri Suradi berkata, langkah itu wajar diambil berikutan kerja-kerja awal pembangunan semula di Kampung Sungai Baru dan kawasan sekitar yang mula menceroboh serta menggunakan tanah di bawah bidang kuasa LPMAS tanpa sebarang rujukan rasmi.
Menurut beliau, LPMAS turut terkilan apabila perbincangan melibatkan pemilik-pemilik tanah, termasuk 17 mangsa tanah jerlus di Kampung Pindah dan perobohan premis di lot tanah rizab Masjid Jamek Kampung Bharu, dijalankan tanpa melibatkan pihak lembaga.
Bercakap dalam satu sidang media di Pejabat M.A.S Kampung Bharu, Shamsuri menegaskan bahawa penubuhan LPMAS sejak 12 Januari 1900 di bawah Enakmen Tanah 1897 membawa kerangka perundangan yang ketat dan statusnya tidak pernah dibubarkan secara sah sehingga kini.
Jelasnya, LPMAS mempunyai peranan unik merangkumi fungsi pentadbiran tanah, majlis tempatan (local council), serta mahkamah syariah di kawasannya, yang melayakkan lembaga berkenaan mengeluarkan Sijil Layak Menduduki (CF).
Mengulas mengenai isu projek Kampung Sungai Baru, beliau memaklumkan bahawa rekod asal menunjukkan geran kawasan tersebut berdaftar sebagai tanah pajakan (leasehold) dan tiada dalam Settlement Register LPMAS.
Bagaimanapun, pihaknya telah dimaklumkan tentang penemuan rekod carian terbaharu di Arkib Negara bertarikh 1932 yang membuktikan sempadan asal M.A.S meliputi jajaran dari utara sepanjang Sungai Kelang (Circular Road) hingga ke Jalan Campbell (Dang Wangi).
“Jika keputusan mahkamah berpihak kepada status asal tanah tersebut, pihak pemaju yang terlibat bakal berdepan komplikasi perundangan yang besar ekoran transaksi tanah yang tidak teratur sejak awal,” tegas Shamsuri.
Beliau menambah, LPMAS kesal dengan sikap kementerian dan agensi berkaitan yang dilihat cuba meminggirkan peranan lembaga itu, termasuk tiga kali penundaan permohonan kunjungan hormat bersama Menteri Wilayah sejak dilantik.
Katanya lagi, percubaan membubarkan M.A.S melalui Rang Undang-Undang terdahulu pada tahun 2010 telah pun ditolak di Parlimen selepas bantahan keras penduduk dan penegasan rasmi pihak kementerian bahawa tujuan penubuhan M.A.S tidak wajar dimansuhkan.
Justeru, LPMAS akan memulakan proses perundangan menerusi saluran notis tuntutan (Letter of Demand) kepada pihak berkaitan yang enggan mematuhi ketetapan pentadbiran tanah M.A.S berkuat kuasa serta-merta.
Mengakhiri kenyataan, Shamsuri menyeru Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Tanah dan Galian WPKL (PTGWPKL) serta pemaju agar berterus-terang dan sentiasa membuka pintu rundingan demi memelihara identiti serta hak orang Melayu di ibu kota.
#BeritaAAC #IsuKampungBharu #LPMAS #KampungSungaiBaru #PertahanTanahMelayu