KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2026 – Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan merangkap Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar, hari ini tampil membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu ketirisan melibatkan MyEG dan Zetrix AI.
Laporan yang mengambil masa lebih dua jam itu dibuat susulan pendedahan sidang media oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, baru-baru ini mengenai tunggakan syarikat terbabit kepada kerajaan yang mencecah sehingga RM314 juta.
Menurut Datuk Gulam, kehadiran beliau ke agensi antirasuah itu adalah atas kapasiti sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan mewakili masyarakat sivil bagi menuntut siasatan telus dijalankan.
Beliau menegaskan bahawa fokus aduan tersebut merangkumi beberapa peruntukan penting di bawah Akta SPRM 2009, khususnya Seksyen 16, 17, 18, dan Seksyen 23 yang turut berkait rapat dengan peranan Menteri Pengangkutan serta agensi di bawah kementeriannya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Mengulas lanjut, Gulam menjelaskan tindakan beliau bersandarkan pengakuan menteri itu sendiri bahawa jumlah sebenar ketirisan adalah RM314 juta dan bukannya RM200 juta seperti yang dilaporkan oleh media luar negara sebelum ini.
Isu berkenaan mencetuskan persoalan lebih besar apabila cek berjumlah RM231 juta yang sepatutnya dikreditkan ke akaun kerajaan pada 30 September lalu dilaporkan telah ditarik balik atau gagal ditunaikan.
Keadaan itu turut diburukkan lagi dengan pengesahan pemberhentian perkhidmatan MyEG pada 5 Oktober lalu, sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada wujud pelanggaran syarat kontrak dan perjanjian kutipan hasil antara syarikat terbabit dan JPJ.
Datuk Gulam turut mempersoalkan ke mana aliran wang kutipan berkenaan disalurkan, memandangkan kutipan hasil kerajaan sepatutnya dikembalikan dalam tempoh transaksi yang ditetapkan dan bukannya digunakan bagi tujuan pelaburan atau perniagaan lain.
Beliau turut menyatakan kesediaan penuh untuk menjadi saksi utama bagi membantu melengkapkan siasatan pihak berkuasa sekiranya diperlukan kelak.
Sambil menzahirkan keyakinan terhadap profesionalisme SPRM, beliau berharap siasatan terperinci dapat digerakkan segera memandangkan wang terbabit merupakan hak rakyat yang wajib dipertahankan dan dilindungi oleh kerajaan.
#BeritaAAC #MyEG #AnthonyLoke #SPRM #IsuSemasa