
KUALA LUMPUR, 8 Oktober 2026 – Bekas Pengerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR), Dato’ Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin menegaskan dana pelaburan berjumlah RM10 juta milik yayasan berkenaan tidak lesap atau disalah guna, sebaliknya mencatatkan keuntungan jutaan ringgit.
Beliau tampil membersihkan namanya susulan penahanan reman selama tujuh hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini berkaitan dakwaan penyelewengan dana tersebut.
Nazir menjelaskan pelaburan RM10 juta yang dibuat pada tahun 2020 itu mematuhi segala tatakelola, prinsip tadbir urus terbaik (good governance) serta due diligence yang sewajarnya sebelum ditamatkan pada November 2022.

Malah katanya, modal berkenaan telah diperoleh semula sepenuhnya di samping YBR menerima pulangan hibah mencecah RM1.85 juta yang dikreditkan secara berkala ke akaun yayasan setiap tiga bulan.
Mengulas tuduhan menyalahgunakan kuasa dengan melabur ke syarikat abangnya, beliau menegaskan entiti berkenaan bukan milik abangnya, sebaliknya abangnya hanya menjadi pelabur terkemudian pada tahun 2021 selepas YBR membuat pelaburan.
Beliau turut mempersoalkan serbuan selama 12 jam di kediamannya pada 30 September lalu serta tindakan menyita kenderaan miliknya dan keluarga yang didakwa tiada kaitan langsung dengan siasatan pelaburan YBR.
Nazir meluahkan kekesalan terhadap muat naik video rasmi TikTok SPRM berlatarbelakangkan lagu bertema ‘penyamun’ ketika siasatan belum selesai, menyifatkannya sebagai tindakan tidak profesional yang mencipta persepsi seolah-olah dirinya sudah bersalah.
Lebih mengejutkan, beliau mendedahkan sepanjang tujuh hari tempoh reman, hanya satu hari sahaja beliau disoal siasat mengenai isu YBR, manakala selebihnya diajukan pelbagai soalan mengenai politik.
Susulan itu, pasukan peguamnya sedang meneliti keseluruhan proses siasatan dan tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang termasuk saman sivil terhadap SPRM atas dakwaan salah guna kuasa.
Beliau turut merayu kepada Peguam Negara agar meneliti fakta kes secara adil dan telus supaya dirinya tidak dijadikan ‘kambing hitam’ demi agenda pihak tertentu.
#BeritaAAC #NazirHussin #YayasanBankRakyat #SPRM #IsuSemasa