KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan menyeluruh dan bebas berhubung dakwaan perbelanjaan projek jalan luar bandar yang dilaporkan melebihi peruntukan sebanyak RM2.1 bilion.
Ketua Penerangan PUTRA, Shahrulufti Sharif, menegaskan bahawa laporan membabitkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu dipandang serius dan tidak wajar dipandang enteng oleh pihak berkuasa.
Menurut beliau, isu berkaitan ketirisan serta salah guna kuasa tidak wajar dilihat dari sudut kecenderungan politik semata-mata, sebaliknya prinsip akauntabiliti perlu ditegakkan tanpa mengira siapa yang mendedahkannya.
”Rasuah dan penyelewengan tidak mengenal parti atau individu. Sama ada isu ini dibangkitkan oleh DAP, UMNO, atau sesiapa sahaja sekalipun yang mendedahkan, ia tetap wajib disiasat secara telus,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Shahrulufti berkata, rakyat berhak mengetahui fakta sebenar berhubung dakwaan perbelanjaan luar biasa bernilai berbilion ringgit itu.
Tegas beliau, sekiranya wujud unsur penyelewengan, tindakan undang-undang yang tegas mesti diambil, manakala penjelasan terbuka wajar dikemukakan jika dakwaan itu tidak berasas bagi membersihkan nama pihak yang dituduh.
PUTRA turut mengingatkan kerajaan agar tidak menjadikan dana awam sebagai instrumen kepentingan politik pihak tertentu.
”Dana rakyat tidak boleh dijadikan alat politik. Projek jalan kampung adalah untuk kesejahteraan rakyat desa, bukan untuk menguntungkan penyokong tegar mana-mana pihak,” tegasnya.
Susulan itu, PUTRA mengemukakan tiga tuntutan utama, termasuk gesaan agar SPRM menyiasat semua individu atau entiti yang terlibat dalam proses kelulusan serta pelaksanaan projek berkenaan.
Selain itu, parti berkenaan menuntut penjelasan rasmi kepada rakyat mengenai punca perbelanjaan boleh melambung melebihi had siling peruntukan yang ditetapkan.
PUTRA turut menuntut jaminan berterusan bahawa projek pembangunan luar bandar tidak dieksploitasi demi kelangsungan politik sempit, sekali gus memastikan kebajikan masyarakat desa terpelihara.
Menutup kenyataannya, Shahrulufti menegaskan isu berkenaan bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya mencerminkan integriti tatakelola kewangan negara serta tahap keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.
#BeritaAAC #SPRM #DanaRakyat #Ketelusan #PolitikMalaysia