Pengalaman luas Sultan Selangor dalam sektor perkhidmatan awam menjadi keprihatinan baginda menekankan kepentingan integriti, kecekapan, disiplin dan tadbir urus yang baik.
Keprihatinan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj itu merupakan manifestasi yang ditonjolkan hasil pengalaman baginda sebagai penjawat awam.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Selangor, Dato’ Haris Kasim berkata, sebelum menaiki takhta, baginda sudah terdedah dengan selok-belok pentadbiran kerajaan dan tanggungjawab perkhidmatan kepada rakyat.
“Tuanku (Sultan Selangor) pernah menimba pengalaman dalam bidang pentadbiran awam sebelum menaiki takhta.
“Baginda berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor, Pejabat Daerah Kuala Lumpur serta Jabatan Polis Diraja, Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Jamuan Teh Diraja bersama pesara, pelabur dan penjawat awam sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang, pada 24 Oktober lalu.
Haris turut menyeru seluruh penjawat awam negeri agar menjadikan titah dan nasihat baginda sebagai pedoman dalam melaksanakan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat.
“Patik mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan diri sendiri dan seluruh penjawat awam Selangor supaya menyematkan titah serta nasihat Tuanku sebagai pedoman dalam melaksanakan tanggungjawab kepada negeri dan rakyat.
“Penjawat awam yang cemerlang tidak dinilai melalui kecekapan melaksanakan tugas semata-mata, tetapi juga melalui sahsiah diri, jujur memegang amanah, kesantunan memberikan perkhidmatan dan kesungguhan menjaga kepentingan rakyat,” katanya.
Pada majlis sama, Sultan Selangor berkenan menyempurnakan pelancaran buku Lakaran Indah Institusi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, mendokumentasikan sejarah serta sumbangan 32 tokoh yang pernah menerajui pentadbiran negeri sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.
Haris yang juga bekas Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, 22 November 2001 merupakan tarikh Sultan Sharafuddin dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor Kesembilan.
“Sepanjang tempoh 25 tahun ini, Selangor terus melangkah maju sebagai negeri dinamik, makmur dan berdaya saing dengan Tuanku kekal menjadi payung kedaulatan negeri, lambang perpaduan rakyat serta tonggak kestabilan institusi Kesultanan Selangor.
“Titah, nasihat dan pandangan Tuanku dalam memelihara kemuliaan agama Islam, keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi pedoman kepada warga pentadbiran negeri,” katanya.
Majlis berkenaan merupakan siri terakhir daripada lima program sempena Jubli Perak pemerintahan baginda, menghimpunkan 1,500 tetamu, termasuk 400 pesara perkhidmatan awam negeri, 200 pelabur dan 500 penjawat awam, selain tetamu lain.
Sementara itu, Nisha Murali, 30, yang menemani ibunya, T Visalachee, 61, seorang pesara perkhidmatan awam, melahirkan keterujaan dapat menghadiri majlis berkenaan yang disifatkannya sebagai pengalaman istimewa.
“Saya sangat teruja dapat menyertai majlis jamuan teh diraja, ditambah dengan makanan dan minuman sedap belaka.
“Kami juga dilayan dengan cukup baik, merasai ‘vibe’ positif,” katanya.