ALOR SETAR, 13 September 2022- Malaysia Techlympics 2022, sebuah inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini dipertandingkan di peringkat zon bagi mencari peserta atau Techlympians yang bakal mara ke peringkat seterusnya bagi merebut hadiah-hadiah bernilai sehingga RM500,000.00.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), MOSTI, YBrs. Dr. K. Nagulendran, telah merasmikan Majlis Penutupan Malaysia Techlympics Zon Utara mewakili YB Dato’ Seri Adham bin Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara di sini hari ini.

Menurut beliau, melihat kepada semangat yang ditunjukkan oleh para Techlympians, MOSTI yakin bahawa Malaysia mampu melahirkan generasi yang celik sains teknologi dan inovasi (STI) dan para inovator muda yang berkebolehan untuk menghasilkan solusi, aplikasi dan produk berteknologi untuk masyarakat dan kelestarian negara.

“Malaysian Techlympics penting kerana mampu meningkatkan lagi daya saing dan daya tahan negara melalui penyertaan inklusif dalam pertumbuhan ekonomi baharu, penerimagunaan teknologi termaju, membina bakat changemaker serta menyokong transformasi Malaysia sebagai negara berinovatif berasaskan teknologi tinggi terutama dalam kalangan anak-anak wilayah utara ini sendiri,” katanya.

Sehingga kini, seramai 920,000 Keluarga Malaysia yang berusia di antara tujuh (7) hingga 30 tahun telah mendaftar untuk menyertai pelbagai jenis pertandingan dan sesi perkongsian STI yang diadakan sejak April hingga November 2022.

Malaysia Techlympics 2022 dilaksanakan oleh Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) sebuah agensi MOSTI dan disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kementerian Pengajian Tinggi. Inisiatif ini mensasarkan satu (1) juta penyertaan daripada para pelajar dan 2,000 idea STI yang berpotensi untuk dikomersialkan.

Bertemakan ‘Berhubung, Bersaing, Berjaya’, Malaysia Techlympic dirangka supaya bersifat inklusif agar lebih ramai golongan sasar mendapat peluang untuk turut terlibat menghasilkan produk inovasi menggunakan pendekatan tidak formal, sekali gus merancakkan lagi aktiviti STI negara melalui experiential.

Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha MOSTI untuk memastikan lebih ramai Keluarga Malaysia khususnya golongan pelajar dan belia untuk menjadikan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebagai pilihan kerjaya masa hadapan dan seterusnya mengaplikasi pengetahuan tersebut dalam kehidupan harian.

MOSTI telah menyusun sebanyak 25 pertandingan di bawah lima (5) kategori utama yang tertumpu kepada bidang-bidang yang membabitkan kejuruteraan, pengkomputeran dan mikro-komputer, nano, Internet benda (IoT), robotik, dron, sains, matematik, reka bentuk kreatif dan animasi serta percetakan dan pembangunan 3D.

Techlympians yang berjaya di peringkat zon akan mara untuk bersaing di peringkat negeri dan seterusnya ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 11 hingga 13 November akan datang.

Untuk maklumat lanjut mengenai Malaysia Techlympics 2022, Keluarga Malaysia dijemput untuk melayari laman web rasmi www.techlympics.my.

Leave a Reply