MELAKA, 31 Oktober 2026 – Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disifatkan berdepan laluan sukar untuk meraih kemenangan di kerusi yang ditandingi mereka.
Pandangan tersebut disuarakan oleh Penganalisis Politik, Datuk Dr. Baharuddin Aziz ketika mengulas peluang parti berkenaan yang mempertaruhkan calon di kira-kira lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurut beliau, situasi semasa parti itu agak rumit dan timbul pelbagai persepsi tidak menyenangkan dalam kalangan pemerhati serta pengundi.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan kerjasama atau langkah politik yang diambil oleh Bersatu kini tidak ubah seperti “marriage of convenience” atau perkahwinan demi kemudahan dan kepentingan tertentu semata-mata.
Malah, beliau turut memetik perumpamaan masyarakat utara iaitu ‘semak perut’ bagi menggambarkan kekusutan serta cabaran dalaman yang membelenggu parti terbabit sebelum ini hingga kini.
Datuk Dr. Baharuddin turut mendedahkan wujudnya dakwaan bahawa matlamat penyertaan Bersatu di kerusi-kerusi berkenaan adalah bertujuan memecahkan pola undi orang Melayu.
Beliau menyatakan perpecahan undi Melayu di kawasan DUN terbabit dikhuatiri hanya akan memberi kelebihan serta laluan mudah kepada calon daripada DAP untuk mencapai kemenangan.
Perkembangan dan khabar angin sedemikian diakui memberikan naratif yang kurang enak didengar terhadap percaturan politik Bersatu di negeri itu.
Sehubungan itu, beliau melihat peluang calon-calon Bersatu untuk melakar kejutan dan meraih kemenangan dalam PRN Melaka adalah tipis sekiranya sentimen ini terus berlarutan.
#PRNMelaka #PolitikMalaysia #BeritaAAC #Bersatu #AnalisisPolitik