KUALA LUMPUR, 2 November 2026 – Penganjuran Karnival Deepavali anjuran Agenda Suria Communication Sdn Bhd yang memasuki edisi ke-24 terus melakar kejayaan tersendiri apabila menjadi platform penting merancakkan ekonomi komuniti serta memperkukuh keharmonian kaum di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur atas konsistensi mereka menguruskan acara berskala besar yang bukan sahaja menyemarakkan sambutan Pesta Cahaya, malah membuka peluang ekonomi kepada ratusan usahawan.
Menurut beliau, penglibatan lebih 400 ruang niaga daripada peniaga tempatan dan serantau membuktikan acara ini berupaya menjadi pusat sehenti utama bagi masyarakat membuat persiapan perayaan secara berpusat dan mudah.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar memberi peringatan tegas berhubung operasi perniagaan warga asing dengan menekankan bahawa kementeriannya tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan undang-undang.
Beliau menjelaskan bahawa peniaga warga asing tidak dibenarkan berniaga secara bebas di tapak berkenaan dan tertakluk di bawah peraturan imigresen yang ketat, selain penganjur turut berdepan tindakan denda sekiranya berlaku pelanggaran syarat.

”Kita sentiasa konsisten dan tidak ada kompromi dalam perkara ini. Dari segi penguatkuasaan, KDN sentiasa bekerjasama rapat melalui kolaborasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” tegas beliau.
Mengulas mengenai perpaduan, beliau menyifatkan kehadiran pengunjung pelbagai latar belakang membuktikan kepelbagaian perayaan di Malaysia merupakan wadah terbaik mempererat integrasi nasional, sama seperti kemeriahan Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.
Sementara itu, pihak penganjur Agenda Suria Communications yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Jaggarao Simancha memaklumkan karnival tahun ini disasarkan menarik sehingga 400,000 pengunjung berbanding sasaran awal seramai 300,000 orang berdasarkan sambutan luar biasa yang diterima.
Pihak penganjur turut menyasarkan nilai transaksi jualan mencecah antara RM50 juta hingga RM70 juta sepanjang tempoh karnival berlangsung.
Bagi mematuhi peraturan KDN dan JIM, pihak penganjur menjelaskan bahawa model perniagaan yang diguna pakai melibatkan peniaga tempatan sepenuhnya menerusi perkongsian pintar (smart partnership) bersama rakan niaga dari luar negara, di mana setiap reruai dikendalikan oleh peniaga tempatan.
Pemilihan lokasi semasa di ibu negara disifatkan amat strategik kerana memiliki kemudahan jaringan pengangkutan awam yang komprehensif, ruang letak kereta luas, serta kapasiti tapak yang selesa menampung pertumbuhan daripada 50 reruai pada tahun 2002 kepada 400 reruai pada masa kini.
#KarnivalDeepavali #KDN #AgendaSuria #BeritaAAC #PerpaduanMalaysia