Dua dekad menguasai persada ‘modest fashion’ antarabangsa, Islamic Fashion Festival (IFF) Kuala Lumpur Ke-20 kini sedia memukau industri menerusi persembahan gemilang ke-49 bertemakan ‘Peranakan The Golden Era’ bermula 21 hingga 23 November ini.
Pengasas dan Pengerusi IFF, Tengku Sri Kelana D’Raja, Profesor Adjung Dato’ Sri Raja Rezza Shah memaklumkan, pemilihan tema Peranakan disifatkan paling bertepatan kerana menterjemahkan puncak perayaan integrasi kaum dan keharmonian budaya, selari dengan identiti IFF sendiri.
Menyingkap pengembaraan dua dekad merentasi empat benua iaitu Asia, Eropah, Amerika, dan Afrika, IFF terus membuktikan keupayaannya beradaptasi mengikut arus zaman.
Katanya, meskipun berdepan kekangan untuk membuat persembahan di Barat ekoran konflik berterusan di Timur Tengah, IFF kekal kental dan bersedia melebarkan sayapnya ke benua Timur menjelang tahun hadapan.
Mengambil tempat di Mandarin Oriental Kuala Lumpur selaku penganjur bersama penganjuran julung kali ini turut mendapat sokongan padu RZ Phenomenal Group Sdn. Bhd. sebagai penaja platinum.
Pentas IFF kali ini bakal menghimpunkan karya magis daripada 13 pereka terkemuka tanah air seperti Abu, Rizman Ruzaini, Raja Rezza, Ezuwan Ismail, Tom Abang Saufi, Radzuan Radziwill, Calvin Thoo, Yacutha, Shanell Harun, Qudyn, Khatreena, Arlina Ayou, dan Sam Republic.
Kemewahan fesyen diserikan lagi dengan sentuhan 11 pereka tersohor Indonesia termasuk Ghea Panggabean, Jeny Tjahyawati, Evi Susanti, Sri Noviyanti, Riris Ghofir, Lina Sukijo, Dekranasda Brebes X Defrico Audi, Malek Moestaram, Sugeng Waskito, Ayu Dyah Andari, dan Sri Busana.
Pentas peragaan turut diwarnai dengan gabungan aksesori eksklusif daripada tiga jenama tudung terkemuka iaitu Bawal Exclusive, Byqiss, dan Cueveil selain koleksi beg tangan Hanum Rich Ventures by Hanum Subri dan himpunan barang kemas rasmi RVJ Diamonds and Gems.
Tidak lengkap suasana festival jika tiada artis jemputan, justeru Liza Aziz, Zehra Zamri, Haziq Rosebi, Nadeera, dan Daniesh Suffian dan ramai lagi barisan artis terkenal akan turut menjayakan festival.
Penganjuran gah ini turut ditunjangi penaja emas Usaha Jana dan Razak Luxe Décor, rakan penaja Patchi, Marini’s On 57, Maison De Bunga, dan Jakel Group, serta tajaan katering rasmi daripada Rumah Lauk, Big Onion Caterer, Aida Brasserie, Tumiz Catering & Events, dan Marvelous Mama.
Bukan sekadar pentas gaya, IFF Kuala Lumpur 2026 terus mendokong misi kemanusiaan menerusi tiga slot waktu pertunjukan (11.30 pagi, 3.00 petang, dan 8.00 malam) yang dikhususkan untuk pengumpulan dana amal.
Usaha murni ini dijayakan bersama rakan penganjur merangkumi Puspanita Cawangan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Masjid Ibadur Rasheed, Yayasan Metamorphosis, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Nur Zahirah, Pandu Puteri Kelantan, dan Sarawak Ladies Club.