KUALA LUMPUR – Filem yang paling hangat diperkatakan ketika ini, KUDRAT 1968: HIGH COUNCIL, terus membuktikan taringnya apabila mencetuskan fenomena luar biasa di pawagam seluruh negara.
Karya terbaharu itu berjaya melakar rekod membanggakan dengan mencatat kutipan terkumpul sebanyak RM6.5 juta, merangkumi hasil tayangan awal serta dua hari tayangan rasmi sejak mula menemui penonton pada 29 Oktober lalu.
Pencapaian membanggakan ini sekali lagi mengesahkan pengaruh serta kekuatan francais High Council yang kekal utuh bertakhta di hati peminat filem tempatan.
Kehangatan naskhah ini bukan sahaja dirasai di pawagam, malah melimpah ke alam maya apabila menjadi topik perbualan hangat di pelbagai platform media sosial.
Tumpuan utama netizen terarah kepada persembahan mantap enam teraju utamanya iaitu Zarif Ghazzi yang menggalas watak Abbas, Mierul Aiman (Kuda), Akmal Asyraf (Piji), Dai Fuad (Pa), Evertts Gomes (Ghafar) dan Chech Harith (Mazli).
Keserasian luar biasa serta penghayatan karakter yang dipamerkan oleh barisan pelakon muda ini berjaya memukau emosi penonton sehingga mengundang pelbagai pujian melambung.
Fenomena ini turut membuktikan bakat serta potensi besar barisan pelapis industri seni tanah air yang semakin matang dan berwibawa di layar perak.
Pihak Astro Shaw merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh penonton Malaysia, khususnya peminat setia naskhah tersebut atas sokongan padu yang tidak berbelah bahagi sejak era siri premium lagi.
Kejayaan ini disifatkan sebagai bukti jelas bahawa karya tempatan mampu membina kelompok komuniti peminat yang kukuh sekiranya dihidangkan dengan penceritaan berkualiti.
Lebih menarik, KUDRAT 1968 tampil dengan formula segar menerusi pendekatan inovatif ‘One Story, Two Formats’ yang menggabungkan empat episod siri premium bersama sebuah filem layar lebar penuh aksi.
Sentuhan mantap filem ini digarap di bawah arahan dua pengarah berbakat, Zulaikha Zakaria bersama Khairi Asyraff.
KUDRAT 1968: HIGH COUNCIL kini sedang rancak ditayangkan di pawagam seluruh negara dan orang ramai boleh mengikuti akaun media sosial rasmi Astro Shaw untuk sebarang perkembangan terkini.

#Kudrat1968 #HighCouncil #Kudrat1968HighCouncil #FilemTempatan #BeritaAAC.