Jabatan Peguam Negara (AGC) mengembalikan semula kertas siasatan berhubung insiden melibatkan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat bagi membolehkan pegawai penyiasat melengkapkan beberapa tindakan susulan sebelum sebarang keputusan muktamad diambil.
Kertas siasatan berkenaan diserahkan oleh PDRM pada 30 Oktober lalu berikutan siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Ia susulan dakwaan Menteri Besar bahawa beliau dipengaruhi secara tidak wajar untuk menandatangani satu proklamasi berkaitan kedudukan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
”Hasil penelitian menyeluruh mendapati beberapa tindakan lanjut perlu dilaksanakan oleh Pegawai Penyiasat sebelum sebarang keputusan dapat dibuat,” menurut kenyataan itu.
Tiada sebarang keputusan pendakwaan dibuat setakat ini sehingga siasatan lanjut PDRM selesai.