LENDU, 9 November 2026 – Jentera Barisan Nasional (BN) digesa agar melipatgandakan usaha menyantuni setiap pengundi serta memastikan pergerakan pengundi ke pusat pembuangan undi berjalan seawal mungkin pada hari pengundian kelak.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan berkata, faktor cuaca yang sering hujan pada sebelah petang menuntut jentera parti mengatur logistik dan kenderaan secara teratur untuk membawa pengundi keluar awal.
Menurut beliau, sasaran BN adalah untuk melihat peratusan keluar mengundi melepasi paras 60 peratus sebelum pukul 12 tengah hari, sekali gus memudahkan urusan mengesan baki pemilih pada sebelah petang.
”Petang-petang sekarang musim hujan. Jadi saya minta petugas-petugas yang membawa pengundi dan kenderaan dapat disusun dengan baik supaya kita capai lebih 60 peratus sebelum pukul 12 tengah hari.
”Selepas itu, kita boleh lihat pengundi mana yang belum keluar lagi untuk kita bawa dan jemput mereka ke saluran mengundi,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu mengadakan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Durian Daun, Lendu, hari ini.
Hadir sama dalam tinjauan tersebut ialah Ketua PDM Durian Daun, Tuan Haji Yusof.
Mengulas mengenai kempen di kawasan tersebut, Mohamad menyifatkan gerak kerja yang disusun jentera tempatan amat teratur, ditambah pula dengan komitmen calon BN, Datuk Hakim, yang turun padang mendekati masyarakat kampung secara berterusan.
Beliau percaya sokongan tradisi masyarakat setempat terhadap BN mampu diteruskan berdasarkan maklum balas positif yang diterima sepanjang tempoh berkempen.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa momentum kejayaan parti berkenaan bukan sekadar bermula dari Negeri Sembilan, sebaliknya merupakan kesinambungan gelombang sokongan rakyat sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lagi.
Menyentuh spekulasi rasa tidak puas hati pengundi susulan ketiadaan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon di kerusi terbabit, Mohamad menepis perkara itu dan menganggap ia sekadar riak kecil yang lazim dalam mana-mana pilihan raya.
Tegasnya, isu tersebut telah diselesaikan sepenuhnya memandangkan Sulaiman sendiri turun padang membantu dan bergerak seiring bersama Datuk Hakim sepanjang kempen minggu kedua ini.
”Kehadiran Datuk Seri Sulaiman membawa kekuatan kepada calon dan parti kita. Saya tidak nampak ia sebagai satu isu yang merunsingkan atau boleh dimainkan kerana beliau sendiri komited menyantuni pengundi di DUN Lendu,” jelasnya.
#BeritaAAC #PRNMelaka #BNMelaka #TokMat #LenduMemilih