KUALA LUMPUR, 15 September 2022 – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensi-agensi di bawahnya sentiasa mencari kaedah dan penyelesaian tuntas bagi memperkasa pelbagai industri termasuk industri Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas bagi meneroka peluang di peringkat nasional dan antarabangsa. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba berkata, “MOSTI menerusi Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) turut memberi pengiktirafan profesional kepada para teknologis dan juruteknik dalam industri minyak dan gas negara. Untuk makluman, bidang teknologi minyak dan gas merupakan penerima top five bagi pengiktirafan profesional MBOT.” 

Selain itu, MOSTI menerusi NanoMalaysia Berhad (NMB) juga telah membangunkan Pelan Hala Tuju Tindakan Grafin Kebangsaan 2020 atau National Graphene Action Plan (NGAP) 2020. Menerusi pelan ini, NMB telah meneroka teknologi grafen menerusi kerjasama bina teroka dengan industri termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), institut penyelidikan domestik dan antarabangsa, serta universiti dan mengeluarkan beberapa aplikasi yang boleh digunakan di dalam industri minyak dan gas. 

“Sejak tahun 2011 sehingga kini, MOSTI turut memainkan peranan dalam membantu menyediakan sokongan pembiayaan bagi menggalakkan penyelidikan serta aplikasi teknologi dalam industri minyak dan gas. Sehingga kini, MOSTI telah menyalurkan geran dan pinjaman berjumlah RM215.15 juta kepada syarikat-syarikat berkaitan minyak dan gas,” kata YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba ketika berucap semasa majlis penyampaian Anugerah Inovasi Perkhidmatan dan Peralatan Minyak & Gas 2022 atau Oil & Gas Services and Equipment Innovation Award 2022 (OIA 2022). 

Anugerah OIA 2022 dilihat signifikan dalam mengiktiraf kecemerlangan dan prestasi inovasi individu dan syarikat tempatan sebagai kayu ukur dalam sektor minyak dan gas yang merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara. Penganjurannya adalah hasil gabungan dan sinergi pemegang taruh industri minyak dan gas di rantau Asia Tenggara. 

Anugerah yang diperkenalkan oleh Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC), Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia, MATRADE dan Informa Markets Malaysia ini merupakan yang ketiga diadakan dan hanya lima (5) daripada 13 syarikat yang dikenal pasti berpeluang menerima geran pembangunan sebanyak RM250,000.00 daripada MPRC. 

Leave a Reply