Oleh: Nurhafizah Jamalludin
Ketua Pergerakan Wirawati Putra Malaysia
15 September 2022

Wirawati Putra Malaysia menyelar dakwaan kononnya Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa tidak gagal dalam menjalankan fungsi pasukan tersebut dalam menangani isu kenaikan kadar inflasi yang membimbangkan. Pasukan itu dilihat tidak mampu memainkan peranannya dalam masalah berkaitan inflasi termasuk menangani isu kenaikan harga barang yang boleh memberi impak kepada kelangsungan hidup rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah. Gesaan pembubaran pasukan tersebut dilihat wajar sementelah dakwaan beliau apabila menyatakan bahawa pasukannya itu tidak boleh mencampuri Dasar Monetari Negara dalam pelaksanaan dasar menangani inflasi bank tersebut terang-terangan memperlihatkan ketidakcekapan serta kelemahan pasukan tersebut dalam memainkan peranan penubuhannya secara menyeluruh. Justeru tiada keperluan untuk kerajaan terus mengekalkan kewujudannya yang dilihat sebagai satu lagi pembaziran sumber hasil negara. Lantikan bersifat politik seperti ini tidak memberi kebaikan kepada rakyat sebaliknya rakyat lebih terbeban dan terkesan di atas semua kesan ketidaktentuan ini.

Malaysia telah mengalami fasa kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak tiga kali dalam tempoh empat bulan tahun ini bermula pada kenaikan kepada kadar 2% pada bulan Mei, diikuti kenaikan kedua kepada 2.25% pada bulan Julai dan yang paling terkini kepada kadar 2.5% sepertimana diumumkan oleh Bank Negara Malaysia pada 8 September lalu. Malah nilai ringgit juga dilihat terus menyusut jatuh ke paras rendah turut memperlihatkan ketidaktentuan ekonomi negara dalam fasa pemulihan selepas negara dilanda Covid-19 yang lalu. Ini pastinya memberi kesan terhadap nilai import, eksport, kadar tukaran mata wang asing dan paras hutang negara.

Lebih memburukkan keadaan apabila MIDF Research turut melaporkan bahawa kadar inflasi makanan mencapai paras tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 6.9% berbanding pada tempoh Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk kerajaan iaitu 2.6% yang jauh lebih rendah dari sekarang. Malah kadar inflasi utama negara naik dari 3.4 % sehingga kadar 4.4% peratus pada Julai lalu. Kesemua kenaikan yang dinyatakan memberi kesan yang berbeza kepada rakyat amnya, namun apa yang dilihat lemah adalah pendekatan yang dilakukan pihak kerajaan melalui BNM dalam melaksankan dasar atau polisi yang lebih proaktif bagi memperkasa ekonomi Malaysia secara strategik selain mengekang tindakan yang bersifat populis demi kepentingan pihak tertentu sahaja.

Tan Sri Annuar Musa jangan cakap banyak dan menafikan kegagalan ini. Sudah dua bulan bermesyuarat bersama Jawatankuasa yang juga terdiri daripada Menteri Kewangan, namun tidak ada kelangsungan atau langkah yang lebih efektif diumumkan sejak penubuhan pasukan ini penghujung Jun lalu. Bubar sahaja Pasukan Khas Jihad ini dan fikir pelan tindakan lain yang lebih komprehensif untuk semua pihak.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri juga perlu lebih realistik dengan keadaan rakyat di bawah yang tertekan dengan kenaikan harga barang yang semakin naik serta kurang pemantauan dari pihak berkuasa. Sepatutnya memberi KPI kepada Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi untuk memberi solusi bagi mengurangkan beban rakyat. Takkan rakyat pula terpaksa memotong perbelanjaan kerana dibebani isu kos sara hidup yang gagal ditangani oleh Kerajaan?

Wirawati sokong penuh pasukan ini dibubarkan kerana sehingga hari ini kelihatan tiada solusi yang boleh dibawa untuk membantu rakyat, hanya retorik semata-mata. Eloklah fikir untuk tubuh Pasukan Khas Tangani Rasuah pula.

Leave a Reply