KUALA LUMPUR, 18 November 2026 – UMNO menyuarakan rasa kesal dan memandang serius tindakan menyebarkan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di media sosial.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan media hari ini merujuk secara khusus kepada tindakan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua yang memuat naik dokumen berkenaan menerusi akaun Facebook beliau.
Menurut Asyraf Wajdi, UMNO menegaskan bahawa kuasa pengampunan, pengurangan dan melegakan hukuman adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa segala urusan dan dokumen yang berkaitan dengan prosiding Lembaga Pengampunan seharusnya diuruskan dengan penuh cermat, kerahsiaan dan penghormatan terhadap kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong.
Dalam kenyataan sama, UMNO turut mempersoalkan sama ada proses penyahklasifikasian dan pendedahan minit mesyuarat tersebut telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.
Walaupun mengakui wujudnya proses penyahklasifikasian dokumen rasmi, UMNO berpandangan bahawa perkara yang menyentuh secara langsung prosiding Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong wajar dirujuk kepada Baginda bagi mendapatkan perkenan sebelum didedahkan.
Asyraf Wajdi mendakwa penularan minit mesyuarat tersebut oleh bekas wakil rakyat berkenaan merupakan satu bentuk penghinaan dan hasutan yang disengajakan bagi membuka ruang perdebatan serta polemik untuk mempersoalkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Beliau turut menyifatkan tindakan Tony Pua itu sebagai berterusan memperalatkan prosiding pengampunan diraja sebagai bahan perbalahan politik tanpa menghormati kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.
Justeru, UMNO mendesak pihak kerajaan supaya memberikan penjelasan segera mengenai proses, asas perundangan serta pihak yang bertanggungjawab meluluskan penyahklasifikasian minit mesyuarat berkenaan, termasuk pengesahan sama ada perkenan Seri Paduka Baginda telah diperoleh.
Asyraf Wajdi menambah bahawa sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau prosedur dalam pendedahan dokumen itu, tindakan tegas perlu diambil segera bagi mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu dan keluhuran Perlembagaan.

#BeritaAAC #UMNO #LembagaPengampunan #InstitusiDiraja #PolitikMalaysia