KUALA LUMPUR, 15 September 2022 – Pusat Kebudayaan China Kuala Lumpur telah memilih Malaysia telah sebagai antara destinasi untuk menganjurkan Festival Filem China yang pertama hasil inisiatif oleh China Film Administration.
Festival yang turut disokong oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia ini akan berlangsung selama empat hari bermula 15 hingga 18 September 2022 ini.
Sebanyak 20 filem akan ditayangkan dalam tempoh empat hari yang terdiri daripada 18 filem dari China manakala dua filem lagi dari Malaysia.
Filem ‘On Your Mark’ arahan pembikin filem Malaysia, Chiu Keng Guan yang juga pengarah filem pecah panggung ‘Ola Bola’ turut ditayangkan pada malam Majlis Perasmian tersebut.
Filem tersebut telah pun memperoleh RM8.7 juta pada hari pembukaannya dan terus mengumpul lebih RM24 juta dalam tempoh dua hari tayangannya sekali gus menjadi filem nombor satu di China pada hari pembukaannya. Kejayaan ini membuktikan kemampuan bakat kreatif dari Malaysia juga mempunyai kualiti hebat sebagai teraju dalam produksi bertaraf global.
“Saya amat berbangga kerana sebuah filem terbitan Malaysia mendapat perhatian sedemikian dari China. Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) akan terus komited untuk menyokong bakat kreatif tempatan dan memastikan mereka juga mampu berkembang di peringkat antarabangsa,” katanya ketika merasmikan Festival Filem China di Dadi Cinema, Pavillion Kuala Lumpur.
Sehubungan dengan itu, K-KOMM menerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang bertindak sebagai pemudah cara industri perfileman Malaysia mengalu-alukan semua produksi luar negara, khususnya dari Republik Rakyat China, untuk menjalani penggambaran filem di Malaysia.
FINAS menawarkan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) untuk menarik pelaburan asing dalam penerbitan filem dan televisyen dengan menggunakan Malaysia sebagai lokasi penggambaran.
Kerjasama strategik bersifat jangka panjang menerusi perjanjian kerjasama produksi antarabangsa (Co-Pro Treaty) antara dua negara tersebut yang sedang dimuktamadkan ini juga merupakan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan daya saing ekonomi industri filem tempatan di peringkat global.
Festival filem ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengeratkan hubungan antara industri perfileman Malaysia dengan China.
“Saya percaya festival ini bukan sahaja memberi gambaran tentang hiburan berkualiti kepada penonton bahkan menjadi platform kepada pembuat dan penerbit filem dari kedua-dua negara untuk saling bertukar idea, selain mengenal pasti peluang kerjasama dalam membangunkan ekosistem yang mampan bagi industri ini,” kata Zahidi lagi.