KUALA LUMPUR, 25 November 2026 – Anakanda kepada bekas Perdana Menteri, Dato’ Mohd Nazifuddin Dato’ Sri Mohd Najib menyuarakan harapan agar isu berkaitan ayahandanya tidak lagi dijadikan bahan mainan politik mana-mana pihak.
Menurut beliau, kepulangan Dato’ Sri Mohd Najib ke kediaman yang kini memasuki minggu kedua merupakan satu rahmat besar yang memberi ruang kepada bekas pemimpin negara itu untuk berehat sepenuhnya bersama ahli keluarga.
Dalam satu kenyataan video ringkas, Nazifuddin menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas perkembangan tersebut serta berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan ayahandanya.
”Ini sudah minggu kedua ‘Bossku’ balik ke rumah. Terima kasih kepada semua yang masih bersama dengan ayahanda dan mendoakan beliau. Alhamdulillah, beliau kini dapat berehat di rumah dan keluarga juga dapat berkumpul bersama,” katanya.
Tambah beliau, momen paling bermakna sepanjang kepulangan tersebut adalah apabila cucu-cucu yang masih kecil kini berpeluang meluangkan masa dan bermesra secara dekat dengan datuk mereka.
Mengulas lanjut mengenai sentimen semasa, Nazifuddin menegaskan bahawa fokus utama keluarga ketika ini adalah memastikan kebajikan serta tahap kesihatan bekas Perdana Menteri itu sentiasa terjaga dengan baik.
Beliau turut menyeru agar semua pihak menghormati ruang peribadi tersebut dan tidak lagi mempolemikkan status kepulangan tokoh yang mesra disapa sebagai ‘Bossku’ itu.
”Apa pun percaturan politik di luar sana, saya amat berharap isu ‘Bossku’ ini tidak perlulah dipolitikkan lagi. Kita cuma mahu melihat bekas pemimpin dan bekas Perdana Menteri kita dijaga dengan baik setelah pulang ke rumah,” tegasnya.
Pada masa yang sama, Nazifuddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan dan keprihatinan baginda terhadap ayahandanya.
”Kami sekeluarga menjunjung kasih kepada Tuanku Agong atas titah baginda yang cukup baik buat ‘Bossku’,” ujarnya mengakhiri kenyataan berkenaan.
#BeritaAAC #Bossku #NajibRazak #NazifuddinNajib #PolitikMalaysia