KUALA LUMPUR, 22 November 2026 – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengarahkan seluruh jentera dan bakal calonnya untuk segera turun padang bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tanpa menunggu pengumuman saat akhir.
Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menegaskan bahawa landskap politik tanah air yang sering berubah pada minit-minit terakhir menuntut parti itu sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia lebih awal.
Beliau mengambil iktibar daripada pengalaman pilihan raya terdahulu apabila keputusan mengenai kerusi yang bakal ditandingi hanya dimuktamadkan dua hari sebelum hari penamaan calon, sekali gus memberi cabaran besar kepada jentera parti.
”Sama ada seseorang pemimpin itu terpilih sebagai calon atau tidak, arahan telah dikeluarkan supaya semua turun padang sekarang. Jika kerusi itu ditandingi Gerakan, kita sudah bersedia; jika ditandingi rakan komponen lain, kita tetap akan memberi sokongan penuh demi memenangkan Perikatan Nasional (PN),” katanya pada sidang media sempena Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan.
Mengulas mengenai peranan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Dominic menyifatkan pilihan raya tersebut bukanlah destinasi terakhir, sebaliknya menjadi medan persediaan dan rujukan penting sebelum berdepan pertempuran sebenar pada PRU16.
Menurutnya, pemisahan tarikh antara PRN dan PRU memberikan kelebihan kepada PN untuk mengadakan rundingan pembahagian kerusi dengan lebih teliti serta memperkukuh persefahaman antara parti komponen.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan keterbukaan untuk meneruskan model kerjasama rentas gabungan seperti yang dilaksanakan di Melaka sebelum ini, sekiranya ia menjadi formula terbaik yang dipersetujui bersama kepimpinan tertinggi PN.
Menjawab persoalan mengenai kenyataan mana-mana pimpinan parti komponen berhubung kerjasama politik dengan pihak luar, Dominic menegaskan bahawa Gerakan kekal berpegang teguh kepada ketetapan konsensus di bawah gabungan PN.
Beliau berkata, sebarang pendirian atau pendekatan rasmi gabungan itu mestilah dibincangkan dan diputuskan secara kolektif melalui Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu, menyentuh strategi menawan kerusi campuran seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh yang memerlukan lonjakan undi daripada 1.1 peratus kepada lapan peratus, Dominic yakin pendekatan parti bukan perkauman yang dibawa Gerakan mampu menarik sokongan rakyat.
Katanya, Gerakan akan terus menggunakan strategi serampang tiga mata iaitu kesederhanaan, keterangkuman dan penyelesaian masalah rakyat tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama.
”Kita bukan hanya mahu meraih sokongan pengundi Cina semata-mata, tetapi kita mahu memenangi hati orang Melayu, India dan semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama memperkukuh PN,” ujarnya.
#BeritaAAC #PartiGerakan #PerikatanNasional #PRU16 #PolitikMalaysia