KUALA LUMPUR, 25 November 2026 – Negara kini memerlukan satu “reset politik” serta mandat baharu daripada rakyat bagi menamatkan segala polemik politik yang berpanjangan, menurut Setiausaha Politik kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Mohd Razlan Rafii.
Dalam satu kenyataan hari ini sempena genap empat tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, Mohd Razlan berpandangan bahawa tempoh empat tahun merupakan jangka masa yang sudah cukup matang bagi satu penggal pilihan raya di Malaysia.
Beliau berkata, walaupun Kerajaan Perpaduan pada awalnya dibentuk atas asas kepentingan rakyat tanpa mana-mana parti memiliki majoriti mudah, kerjasama antara dua gabungan berbeza ideologi itu pada mulanya ibarat “mencurah air ke daun keladi” sebelum kedua-dua pihak bertungkus-lumus memberi kefahaman kepada ahli masing-masing.
Dari sudut pencapaian, beliau mengakui negara merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus setakat September, sekali gus menunjukkan ekonomi berada dalam keadaan baik dan stabil.
Tambahnya, keserasian di peringkat Kerajaan Pusat turut dapat dilihat menerusi cara Kabinet membuat keputusan apabila barisan menteri saling menghormati bidang tugas masing-masing di mata rakyat dan dunia.
Namun, menurut Mohd Razlan, pertembungan ideologi politik mula sukar dikawal apabila tiba Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk bertanding secara solo.
Beliau mendakwa pentas kempen ketika itu telah digunakan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk mengherdik dan mencaci BN dengan pelbagai gelaran seperti pengkhianat serta sindiran “budak baru belajar”, berbanding membentangkan tawaran kepada rakyat.
Mohd Razlan turut berpendapat bahawa wujud komponen dalam gabungan PH yang masih sukar menerima ideologi politik kebangsaan dan terus berpegang kepada ideologi sosialis, yang akhirnya memperlihatkan kesukaran kerjasama tersebut kepada rakyat.
Mengulas lanjut mengenai dinamika pilihan raya seterusnya, beliau berkata PH hanya mula memahami keperluan menjaga kestabilan negara ketika pilihan raya di Sarawak apabila tiada lagi hinaan dilemparkan, namun menyifatkan keadaan itu sebagai “nasi sudah menjadi bubur” dengan dakwaan PH sudah tewas 3–0 kepada BN dari sudut politik.
Beliau turut mengingatkan bahawa purata tempoh antara Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia adalah sekitar empat tahun dua bulan, justeru kepimpinan PH tidak seharusnya melabel BN sebagai tamak atau gila kuasa apabila soal memperbaharui mandat dibangkitkan.
”Dalam empat tahun ini, ekonomi berkembang dan kerajaan kekal stabil. BN berada dalam semua saat dan ketika itu. Namun, dalam demokrasi, setiap mandat ada tempohnya. Sampai masanya, mandat itu perlu diperbaharui,” katanya.
Tegas beliau, sebagai negarawan, semua pihak perlu berani dan percaya kepada sistem demokrasi serta pilihan rakyat memandangkan kuasa bukanlah milik mutlak mana-mana individu atau parti politik.
#BeritaAAC #KerajaanPerpaduan #ResetPolitik #MandatRakyat #PolitikMalaysia