KUALA LUMPUR, 25 November 2026 — Landskap pelancongan dan maritim di utara tanah air bakal menyaksikan transformasi besar apabila Perbadanan Menteri Besar Perlis (MBI Perlis) dan Blue Whale Properties Sdn. Bhd. (BWP) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi pembangunan projek mega Hab Kuala Perlis (Kuala Perlis Hub Project) hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian strategik yang berlangsung di Grand Millennium Hotel di sini disaksikan sendiri oleh Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Abu Bakar bin Hamzah bersama Ketua Pegawai Eksekutif MBI Perlis, Encik Azizi bin Ahmad dan Pengerusi Kumpulan Blue Whale Properties, YBhg. Dato’ Mohd Nazifuddin bin Dato’ Seri Mohd Najib.

Menurut Dato’ Mohd Nazifuddin, projek di bawah visi pembangunan Northern Gateway di atas tanah seluas 1,000 ekar itu bakal menjadi pencetus perubahan (game changer) dengan memusatkan perkhidmatan terminal penumpang, feri, Ro-Ro serta perkapalan.
Jelas beliau, pembangunan ini turut memberi tumpuan khusus kepada penyediaan terminal kapal persiaran (cruise) bertaraf antarabangsa serta hab logistik serantau bagi menampung kapal-kapal besar yang selama ini kekurangan fasiliti sesuai di negara ini.
Tambah beliau, hab tersebut bakal dilengkapi teknologi terkini termasuk sistem pengecasan untuk feri elektrik dan integrasi kecerdasan buatan (AI), sekali gus berpotensi memendekkan masa perjalanan feri dari Kuala Perlis ke Langkawi kepada sekitar 30 minit dengan kekerapan setiap jam.

Selain itu, kedudukan strategik Perlis yang bersempadan dengan Thailand akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menarik aliran pelancong dari Krabi dan Phuket masuk ke Kuala Perlis sebelum meneruskan perjalanan ke Langkawi, seluruh Malaysia, mahupun belayar ke Singapura dan Hong Kong.
Sementara itu, YAB Tuan Abu Bakar bin Hamzah menyifatkan perjanjian ini sebagai titik tolak yang bakal mengubah wajah Kuala Perlis secara keseluruhan serta menyelesaikan isu lama berkaitan pendaratan feri dan kerja-kerja pengerukan selut yang membelenggu laluan laut selama ini.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri kini giat merealisasikan konsep Segi Tiga Pembangunan Segenting Kra yang menghubungkan Perlis, Langkawi dan Satun sebagai satu destinasi pelancongan baharu yang berdaya saing di rantau ASEAN.
“Kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya untuk mempercepatkan proses perjanjian dan pembangunan ini agar pelaburan yang masuk ke Perlis dapat direalisasikan segera demi menjana ekonomi rakyat tempatan,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Dalam majlis sama, Blue Whale Properties turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dua rakan strategik antarabangsa iaitu Attribute Global Ventures (AGV) dan GZ & Technologies Consultancy Sdn. Bhd. bagi meneroka peluang pembiayaan antarabangsa, pusat data serta infrastruktur digital.

Inisiatif bersepadu ini dijangka membuka ribuan peluang pekerjaan baharu, merancakkan penyertaan usahawan tempatan serta memacu pertumbuhan ekonomi biru, ekonomi hijau dan sektor pelancongan negeri Perlis secara mampan.
#BeritaAAC #NorthernGateway #KualaPerlisHub #TransformasiPerlis #PelanconganASEAN