KUALA LUMPUR, 26 November 2026 – Sekretariat Institusi Ayahanda Malaysia (IAM) tampil membuat satu laporan polis berhubung kenyataan Ahli Parlimen (MP) Kota Melaka yang didakwa mempertikaikan penutupan premis perniagaan pada waktu solat Jumaat.
Timbalan Presiden IAM, Paduka Ayah Ahmad Yani Ahmad Aziz berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana ia bukan sekadar melibatkan soal operasi perniagaan, malah berkait secara langsung dengan penghormatan terhadap kewajipan agama serta amalan umat Islam di negara ini.
Beliau mempersoalkan kewajaran seorang wakil rakyat mengeluarkan kenyataan sedemikian yang dilihat berpotensi menimbulkan persepsi negatif serta mencabar amalan masyarakat Islam yang menghormati waktu solat Jumaat.
Menurutnya, tindakan tersebut juga dikhuatiri menyentuh sensitiviti 3R (agama, kaum dan institusi raja) yang boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk.
”Kebebasan bersuara dan kedudukan sebagai ahli parlimen bukanlah lesen untuk mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan agama dan kaum,” tegasnya dalam satu sidang media selepas membuat laporan tersebut.
Sehubungan itu, IAM mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera terhadap keseluruhan kenyataan dan penerbitan berkaitan isu ini bagi meneliti wujudnya unsur provokasi atau penghinaan.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang sewajarnya sekiranya terdapat bukti kesalahan tanpa mengira kedudukan, pangkat mahupun pengaruh politik individu terbabit.
Tambah beliau, isu berkaitan sensitiviti agama dan keharmonian negara tidak seharusnya dipandang ringan atau diberikan layanan berbeza, apatah lagi hanya diselesaikan dengan sekadar permohonan maaf semata-mata.
”Ini bukan salah faham, ia menghina dan mencetuskan ketegangan. Jangan cuba menormalisasikan kenyataan seperti ini dan kami akan pastikan siasatan dijalankan sampai habis,” katanya.
Jelasnya lagi, umat Islam berhak mempertahankan kehormatan agama mereka melalui saluran undang-undang yang sah agar perkara ini tidak berlarutan menjadi polemik yang menjejaskan keamanan negara.
Laporan polis tersebut dibuat demi mempertahankan martabat agama Islam, menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam, serta memastikan keharmonian kaum di Malaysia sentiasa terpelihara.
#BeritaAAC #InstitusiAyahandaMalaysia #Isu3R #SolatJumaat #PertahanAgama