KUALA LUMPUR, 27 November 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tampil membela nasib sekumpulan individu yang didakwa menjadi mangsa penipuan ‘keldai akaun’, namun kini berdepan tekanan berganda apabila disiasat dan didakwa secara berulang kali di mahkamah.

Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim berkata, kebanyakan mangsa yang tampil mengadu kepada pihaknya bukanlah dalang atau bersubahat dengan sindiket penipuan, sebaliknya mereka turut terpedaya serta dieksploitasi oleh pihak scammer.
Dalam sidang media hari ini, MHO mendedahkan tiga kes unik yang membuktikan wujudnya kepincangan dalam siasatan dan pendakwaan terhadap pemilik akaun bank.
Kes pertama melibatkan seorang bekas anggota tentera yang didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan serta berdepan tujuh lagi pertuduhan lain, walaupun akaun bank miliknya digunakan oleh sindiket ketika beliau sedang menjalani hukuman di dalam penjara.
Kes kedua pula membabitkan seorang individu yang baru pulih daripada kemalangan dan memohon kerja sambilan, sebelum diperdaya membuka akaun bank dan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kononnya bagi tujuan sistem penggajian (payroll), namun disalahgunakan untuk jenayah kewangan.
Sementara itu, kes ketiga melibatkan seorang mangsa di Kuching yang dipaksa serta diperas ugut untuk membuka akaun bank dan telah pun membuat laporan polis berhubung ugutan tersebut, tetapi tetap berdepan tindakan siasatan berulang.
Menurut Dato’ Hishamuddin, MHO tidak sesekali menghalang pihak polis atau Jabatan Peguam Negara menjalankan tugas, namun menggesa agar semua kertas siasatan berkaitan individu yang sama dicantumkan dan diselaraskan menjadi satu siasatan bersepadu.
Tegas beliau, tindakan mendakwa mangsa secara berasingan bagi setiap transaksi hanya membuang masa agensi penguat kuasa, sedangkan keutamaan sepatutnya diberikan untuk memburu dalang utama atau mastermind sindiket.
Sementara itu, Aktivis MHO, Abang Sufi mendedahkan pihaknya menerima antara 10 hingga puluhan aduan setiap hari daripada mangsa keldai akaun yang tertekan apabila disuruh mengaku salah semata-mata untuk memudahkan proses penyelesaian kes.
Beliau menyifatkan situasi itu sebagai double kill atau penganiayaan dua kali terhadap mangsa, di mana mereka sudah pun ditipu sindiket, kemudian dihukum pula oleh sistem perundangan tanpa siasatan menyeluruh terhadap latar belakang kes.
Abang Sufi turut mempersoalkan mengapa kes jenayah lain seperti samun bersiri melibatkan suspek yang sama boleh disatukan di bawah satu kertas siasatan bersepadu, namun pendekatan sama tidak dipraktikkan terhadap mangsa keldai akaun.
Bagi menuntut keadilan dan perubahan dasar terhadap prosedur operasi standard (SOP) siasatan, MHO bersama ahli keluarga mangsa akan menghantar surat rasmi kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) pada 2 Disember ini serta ke Jabatan Peguam Negara.
MHO turut menyeru masyarakat agar tidak mudah melabel pemilik akaun sebagai penjenayah, sebaliknya melihat isu ini dari sudut kemanusiaan dan keadilan agar mangsa sebenar tidak terus menjadi korban ketidakadilan sistem.
#BeritaAAC #KeldaiAkaun #MHOMalaysia #MangsaScammer #KeadilanUntukMangsa