Oleh : Azamuddin Ali
Sekarang semakin rancak pula desakan beberapa ahli UMNO dalam bahagian-bahagian tertentu menginginkan presiden sekarang, Dato Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur berikutan kes mahkamah yang beliau hadapi buat masa ini.
Alasan yang rapuh ini sesekali tidak relevan iaitu perlunya seorang perdana menteri itu ialah presiden dan presiden ialah seorang perdana menteri. Seseorang pemimpin yang mempunyai kes yang sedang berjalan perlu melepaskan jawatan atau berehat sehingga kes selesai dibicarakan.
Apa yang berlaku kini berlainan setelah pasca PRU 14.
Alasan serta kenyataan ini menggambarkan bahawa mereka seolah-olah tidak mengendahkan isu semasa yang berlaku. Kes yang dihadapi oleh beberapa pemimpin tertinggi UMNO kini jelas bermotifkan politik. Apabila mereka mendesak supaya perdana menteri perlulah menjadi presiden parti atau sebaliknya hal ini jelas menampakkan bahawa mereka sendiri tiada usaha mempertahankan institusi presiden yang sedia ada yang dipilih sendiri oleh akar umbi.
Bagi mereka jika presiden UMNO ialah perdana menteri barulah dikatakan UMNO itu kuat begitu juga sebaliknya. Puak ini persis pemimpin yang dikategorikan oleh Datuk Seri Najib ketika konvensyen BN yang lepas iaitu puak yang masuk gua ketika BN jatuh dalam masa yang sama mengintai peluang untuk keluar gua apabila nampak cahaya di hujung gua. Puak ini senada seperti golongan yang seterusnya iaitu orang UMNO tapi bersuara seperti Bersatu.
Golongan ini seolah-olah berasa tidak yakin pada kepimpinan UMNO pasca PRU-14 kerana hanya UMNO tidak berada di Putrajaya. Lihat sahaja desas desus yang mengatakan ada ‘kartel’ dalam UMNO ingin sabotaj perbahasan para perwakilan UMNO sewaktu PAU 2021 yang lepas. Mereka ini bergerak secara senyap. Tidak berani bersuara kerana majoriti akar umbi UMNO menyebelahi apa juga keputusan presiden. Hanya pemimpin bahagian tertentu dan beberapa jawatankuasa lain dibawahnya bertindak menongkah arus dan sikap mereka persis musang berbulu ayam.
Adakah mereka lupa bagaimana presiden berusaha membawa berlayar bahtera UMNO ini dalam lautan yang bergelora sehingga disuruh bubar oleh Tun Dr. Mahathir yang ketika itu perdana menteri kerajaan PH. Maka pada akhirnya Dato Seri Zahid membayar dengan harga yang mahal dituduh dan didakwa di mahkamah dengan pendakwaan politik yang terpilih. Adakah puak ini lupa ? Jawapannya sudah dinyatakan di perenggan atas (keempat).
Mereka seolah percaya bahawa presiden telah melakukan salah laku. Sedangkan beberapa pemimpin UMNO lain juga terlibat sama tapi disebabkan mereka memegang jawatan dalam kabinet maka tiada tindakan diambil. Sama juga seperti beberapa katak yang melompat parti ke Bersatu uga tiada tindakan yang diambil. Adakah puak ini buta ?
Hal ini tidak ubah seperti pasca PRU-14 yang lepas. Mereka sibuk menyalahkan Datuk Seri Najib atas kekalahan BN ketika itu tetapi tiada usaha daripada mereka untuk mempertahankan UMNO dan BN sehingga siang malam hanya DSN sahaja yang menjawab segala fitnah yang bertebaran.
Lupakanlah kekalahan lepas. Terimalah kekalahan itu sebagai kebangkitan parti. Kalau bukan usaha Dato’ Seri Zahid untuk menaikkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai perdana menteri siapa yang lagi yang sanggup ambil risiko ? Beliau dicaci dan dihina dan dituduh mahu melepaskan kes mahkamah jika Umno menjadi perdana menteri. Apa yang terjadi ialah fitnah dan tuduhan itu tidak berlaku sama sekali. Malah beliau telah mengotakan janji PAU 2018 untuk menaikkan Umno menjadi kerajaan sebelum pilihan raya akan datang.
Sekali lagi peringatan buat pemimpin akar umbi. Sudah-sudahlah menyerang presiden parti. Tumpukan usaha untuk tawan kembali Putrajaya sepenuhnya. Sekarang kita sudah ada kekuatan. Penerimaan kita oleh rakyat kerana tidak mahu PH memerintah lagi. Tugas ahli dan pemimpin parti perlu mengajak rakyat supaya menerima UMNO/BN sebagai parti yang boleh memimpin dan memberi servis yang terbaik buat rakyat. Ingat rakyat menilai. Akar umbi juga menilai.