filter: null; fileterIntensity: null; filterMask: null; captureOrientation: 0; algolist: 0; multi-frame: 1; brp_mask:0; brp_del_th:null; brp_del_sen:null; motionR: 0; delta:null; module: movie_effect;hw-remosaic: false;touch: (-1.0, -1.0);sceneMode: 0;cct_value: 0;AI_Scene: (-1, -1);aec_lux: 130.0;aec_lux_index: 0;albedo: ;confidence: ;motionLevel: -1;weatherinfo: weather?null, icon:null, weatherInfo:100;temperature: 45;

TRIANG, PAHANG, 16 April 2026 – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merancang menambah antara lima hingga tujuh lagi Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) di seluruh negara bermula tahun hadapan dalam usaha memperluas akses pendidikan, khususnya kepada murid di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Langkah itu dilihat mampu memberi manfaat besar kepada murid yang selama ini berdepan cabaran jarak perjalanan jauh untuk ke sekolah, terutama mereka yang tinggal di kawasan terpencil.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, model K11 merupakan pendekatan terbaik bagi memastikan kesinambungan pendidikan murid tanpa perlu berpindah sekolah selepas tamat pendidikan rendah.

Menurut beliau, berbeza dengan murid di bandar yang lazimnya tidak menghadapi masalah besar untuk hadir ke sekolah, murid di kawasan pedalaman pula terpaksa menempuh perjalanan yang lebih jauh dan memenatkan setiap hari.
“Di kawasan luar bandar, ada murid yang terpaksa mengambil masa antara satu jam hingga satu jam setengah untuk hadir ke sekolah setiap hari. Sebab itu model seperti K11 sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan inisiatif Sekolah Angkat MADANI (SAM) di Sekolah Kebangsaan FELDA Sungai Kemahal, berhampiran Triang, Bera.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, yang bersama-sama menyantuni warga sekolah dan komuniti setempat dalam program berkenaan.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa; Pegawai Pendidikan Daerah Bentong, Hanifah Veerankutty; serta Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Genting Malaysia Berhad, Spencer Lee.
Dalam perkembangan berkaitan, Wong berkata menerusi projek sekolah angkat itu, beberapa kemudahan telah berjaya disiapkan, termasuk pembinaan gelanggang sofbal, naik taraf makmal komputer serta kerja membaik pulih pintu pagar rosak hasil kerjasama dengan Genting Malaysia Berhad.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada syarikat berkenaan atas sumbangan tanggungjawab sosial korporat mereka, termasuk bantuan berjumlah RM100,000 kepada SK Sungai Kemahal dan RM118,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Sertik, Karak.
Menurut Wong, penambahan sekolah K11 tidak bermaksud kerajaan akan membina sekolah baharu, sebaliknya memanfaatkan institusi sedia ada dengan menaik taraf fungsi sekolah rendah atau menengah supaya kedua-dua aliran dapat ditempatkan di bawah satu institusi yang sama.
Katanya, pendekatan itu membolehkan murid meneruskan pembelajaran dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima tanpa perlu berpindah sekolah, sekali gus membantu mengurangkan risiko keciciran pendidikan.
“Pada 2023, kita memperluas model K9 kepada K11 supaya anak-anak terutama murid Orang Asli dan mereka di kawasan luar bandar dapat kekal belajar di sekolah yang sama sehingga Tingkatan Lima,” katanya.
Setakat ini, terdapat 26 sekolah K9 dan sembilan sekolah K11 di seluruh negara, manakala pemilihan lima hingga tujuh sekolah tambahan bagi tahun hadapan akan ditentukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri mengikut keperluan kawasan masing-masing.
#BeritaAATV #PendidikanMalaysia #SekolahK11 #AnakPedalaman #AksesPendidikan