SABAH, 18 September 2022 – YB Datuk Halimah binti Mohamed Sadique, Menteri Perpaduan Negara telah merasmikan program Semarak Uniti Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Pensiangan, Sabah bertempat di Dewan Terbuka Nabawan, Sabah.

Program yang kali pertama dianjurkan di Negeri Bawah Bayu oleh Kementerian Perpaduan Negara ini berlangsung selama dua (2) hari iaitu bermula 17 hingga 18 September 2022. Bertemakan “Merakyatkan Perpaduan Keluarga Malaysia”. Program ini berpaksikan 3 teras Keluarga Malaysia iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Penganjuran program ini adalah bagi menyokong Aspirasi Keluarga Malaysia dan merupakan platform yang menjadi Tapak Integrasi untuk membina dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat tanpa mengira perbezaan kaum, bangsa dan agama.

Pelbagai pertandingan, pameran dan aktiviti telah diatur untuk masyarakat setempat termasuk Pameran Rumah KAMI Keluarga Malaysia yang mempamerkan kelainan berbanding Pameran Rumah KAMI Keluarga Malaysia di Semenanjung.

Terdapat tujuh (7) Pameran Rumah KAMI Keluarga Malaysia iaitu Rumah Kaum Kadazan, Kaum Bajau, Kaum Brunei, Kaum Murut, Kaum Rungus, Kaum Cina dan Kaum India. Para pengunjung boleh mencuba pelbagai makanan tradisi yang disediakan oleh setiap Rumah KAMI ketika pameran berlangsung.

Selain itu, YB Datuk Halimah binti Mohamed Sadique turut menyampaikan 340 kotak RT Cares kepada penduduk B40 daripada 34 buah KRT di sekitar Nabawan. Setiap KRT dari Parlimen Pensiangan juga turut menerima mesin pemotong rumput bagi pelaksanaan aktiviti gotong-royong Gerak Kerja Bersih dan Indah di kawasan masing-masing.

Terdapat sebanyak 117 KRT di Parlimen Pensiangan meliputi tiga (3) daerah iaitu Daerah Keningau, Daerah Nabawan dan Daerah Sook Kecil. Negeri Sabah juga mempunyai bilangan KRT kedua terbanyak selepas Selangor di Seluruh Malaysia dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,069 KRT. Sehingga kini, terdapat sebanyak 8,330 KRT di seluruh negara.

Bersempena program ini, Yang Berhormat Menteri Perpaduan Negara telah melancarkan Agenda Kerja Komuniti Rukun Tetangga (RT4ALL) di Kg. Karanaan, Sook, Sabah yang meliputi empat (4) gerak kerja utama iaitu:

i. Gerak Kerja KRT Sejahtera 
Memfokuskan kepada kesejahteraan dan peningkatan kualiti hidup

ii. Gerak Kerja KRT Selamat Menjadikan tanggungjawab menjaga keselamatan secara inklusif bersama komuniti

iii. Gerak Kerja KRT Bersih dan Indah Memfokuskan kepada amalan penjagaan kebersihan dan keindahan kawasan komuniti

iv. Gerak Kerja KRT Sihat
Memfokuskan kepada program amalan gaya hidup sihat.

YB Menteri Perpaduan Negara juga telah menyertai ahli Komuniti KRT Kg. Karanaan, Sook dalam menjayakan aktiviti melukis “Uniti Mural”.

YB Menteri Perpaduan Negara turut berkesempatan melawat seorang AJK Jiran Wanita, Puan Rita binti Sanin yang mengalami lumpuh (stroke) sejak tahun 2020 dan menyerahkan barangan keperluan harian serta sumbangan wang tunai bagi meringankan beban keluarga AJK Jiran Wanita tersebut. 

Terdahulu, majlis pada hari ini turut dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya Merangkap Ahli Parlimen Pensiangan, YB Datuk Ir. Shahelmy Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, YBrs. Dr. Kang Tong Hum, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, YBhg. Dato’ Hajah Norison binti Ramli, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta Ketua-ketua Masyarakat. 

YB Datuk Halimah binti Mohamed Sadique turut menzahirkan harapan beliau agar lebih banyak program Semarak Uniti Keluarga Malaysia dapat dilaksanakan di seluruh negara sebagai tapak integrasi bagi memperkukuhkan ikatan perpaduan dan semangat muhibah dalam kalangan Keluarga Malaysia. 

Leave a Reply