PUTRAJAYA 22 September 2022 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara senantiasa bersiap siaga dengan melakukan persiapan dan pelan strategi menyeluruh dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan risiko berlaku banjir di seluruh negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau senantiasa mengikuti rapat perkembangan dan laporan terkini Jabatan Meteorologi Malaysia berkait Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November sehingga Mac 2023
Sebagai persediaan MTL kali ini, 332 balai bomba dengan hampir 30,000 anggota termasuk bomba bantuan juga bomba sukarela, selain keperluan fasiliti dan logistik di air, udara dan darat. Selain itu, Pasukan-pasukan khas JBPM seperti Pasukan Penyelamat di Air,
Hazmat, EMRS, Pasukan Khas Udara, Pasukan Multi Skill (MUST), Unit Special Tactical Operation and Rescue Team of Malaysia (STORM) yang kesemuanya berjumlah lebih 4,000 anggota juga bersiap siaga setiap masa.
Menyentuh aspek lojistik pula, hampir 2000 aset kenderaan dan jentera pelbagai fungsi termasuk darat, air dan udara juga berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digerakkan ke lokasi kecemasan dan bencana
Beliau berkata demikian selepas lawatan dan meninjau kesiapsiagaan dan aset logistik JBPM di perkarangan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Putrajaya hari ini.
Terdahulu, YB Dato’ Sri Reezal menghadiri sesi taklimat Kesiapsiagaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Menghadapi Monsun Timur Laut di Pusat Pengurusan Operasi.
Bagi memastikan pengurusan banjir berada pada tahap optimum, Bomba akan bergerak menerusi empat strategi Emergency Management Cycle iaitu :
o Mitigation (kajian kawasan risiko, post mortem)
o Preparedness (kesiapsagaan peralatan dan kelengkapan, latihan, penyusunan anggota, pemantauan)
o Response (Perintah & kawal, mobilisasi, pemindahan, pelaporan, SAR)
o Recovery (Khidmat kemanusiaan, pembersihan dan bantuan perubatan)
Mengulas lanjut, JBPM juga telah menetapkan tiga lokasi bagi Regional Forward Base atau pangkalan hadapan yang berfungsi sebagai kawasan penempatan awal logistik jabatan bagi menghadapi banjir mengikut zon iaitu di Balai Bomba dan Penyelamat Perda, Pulau Pinang (Zon Utara), Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Johor (Zon Selatan) dan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Terengganu (Zon Timur).
Bagi memastikan pemantauan berterusan dan persediaan awal dapat dibuat, lokasi titik panas (hot spot) melibatkan tiga kategori risiko iaitu kawasan berisiko banjir (5,496 lokasi), kawasan berisiko kepala air (186 lokasi) dan kawan cerun kritikal (122 lokasi) yang telah dikenal pasti dengan enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak menjadi negeri menjadi tumpuan JBPM
Pemantauan situasi secara berkala telah dilaksanakan seperti data taburan hujan, paras air, luruan monsun dan pasang-surut air laut berdasarkan data dan maklumat daripada agensi-agensi berkaitan.