25 September 2022, Miri, Sarawak – Yang Berhormat Datuk Halimah binti Mohamed Sadique telah mempengerusikan Majlis Mesyuarat Perpaduan Negara (MExUnity) Tahun 2022 pada 24 September 2022.
MExUnity merupakan Majlis Mesyuarat antara YB Menteri Perpaduan Negara bersama YB Menteri Perpaduan Negeri Sarawak, YB Menteri Perpaduan Negeri Sabah dan Exco-Exco Perpaduan Negeri.
Majlis ini merupakan platform antara Kementerian Perpaduan Negara dan Kerajaan Negeri untuk membincangkan usahausaha pemangkin penyatupaduan Keluarga Malaysia, pelan tindakan dan perancangan program-program perpaduan yang dilaksanakan di peringkat pusat dan negeri sehingga ke akar umbi bagi mencapai agenda perpaduan nasional.
Pada hari yang sama, YB Menteri Perpaduan Negara telah turun ke KRT Kampung Kuala Sibuti, di Daerah Subis untuk melancarkan Agenda Kerja Komuniti Rukun Tetangga RT 4 All yang meliputi empat gerak kerja utama seperti berikut :
i. Gerak Kerja KRT Sejahtera Memfokuskan kepada kesejahteraan dan peningkatan kualiti hidup.
ii. Gerak Kerja KRT Selamat Menjadi tanggungjawab menjaga keselamatan secara inklusif bersama komuniti.
iii. Gerak Kerja KRT Bersih dan Indah Memfokuskan kepada amalan penjagaan kebersihan dan keindahan Kawasan komuniti.
iv. Gerak Kerja KRT Sihat Memfokuskan kepada program amalan gaya hidup sihat.
Turut hadir adalah YB Dato’ Sri Hajah Fatimah binti Abdullah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak dan Datuk Hajah Rosey Haji Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap ADUN Bekenu.
Mengakhiri program di Miri adalah Pelancaran SUKM peringkat Wilayah Sarawak yang berlangsung di Dataran Kipas, Miri pada 25 September 2022.
SUKM merupakan satu program berteraskan Pelan KAMI yang menyokong Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM). Program ini menjadi tapak integrasi untuk menyemarakkan dan memperbanyakkan detik-detik perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia yang meraikan kepelbagaian.
Pengisian yang diatur adalah merupakan aktiviti yang dapat menggalakkan kefahaman Keluarga Malaysia kepada kepelbagaian yang ada, melahirkan rasa hormat dan seterusnya meraikan kepelbagaian dan menerima perbezaan.
Pengisian utama program SUKM adalah Pameran Rumah KAMI Keluarga Malaysia di mana adat resam dan budaya serta cara hidup masyarakat pelbagai kaum yang terdapat di negeri Sarawak antaranya kaum Jatti Miriek, Kedayan, Melanau, Cina, Iban, Kayan dan Kenyah dipamerkan. Acara lain seperti Uniti Fun Walk, Citarasa Menu Keluarga Malaysia, Explorace Negaraku, Piknik Keluarga Malaysia dan Pertandingan Mewarna Si Cilik turut diadakan.
YB Datuk Halimah menzahirkan penghargaan paling istimewa buat kerajaan negeri Sarawak atas kerjasama yang diberikan. Beliau turut berterima kasih kepada 1,063 komuniti KRT negeri Sarawak yang aktif berperanan sebagai agen penggerak perpaduan.
“Sokongan terbaik kepada usaha-usaha memperkukuh integrasi nasional oleh semua pihak menjadikan semangat muhibah terus bersemarak,” jelas YB Datuk Halimah.