KUALA TERENGGANU, 25 SEPTEMBER 2022 – Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) YB Datuk Haji Ahmad Amzad Bin Hashim hari ini telah melancarkan edisi keenam siri jelajah ‘MYStartup East Coast Region Roadshow’ di Kuala Terengganu, Terengganu.
Siri jelajah MYStartup anjuran MOSTI menerusi Cradle Fund Sdn. Bhd. (Cradle) ini diteruskan lagi bagi mempergiat usaha menarik lebih banyak startup di luar Lembah Klang untuk menyertai program-program anjuran MOSTI.
Kuala Terengganu merupakan hentian pertama di kawasan pantai timur negara dalam siri Jelajah MYStartup selepas Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah. Ini adalah sebahagian daripada usaha bagi memastikan komuniti startup di Terengganu turut sama terlibat dan mendapat manfaat daripada program-program pemerkasaan startup melalui inisiatif MYStartup.
Pada majlis perasmian ‘MYStartup East Coast Region Roadshow’ Terengganu, YB Datuk Haji Ahmad Amzad Bin Hashim berkata, “MOSTI dan Cradle menghargai sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh rakan-rakan komuniti setempat, termasuklah Terengganu Digital 1303 (TD1303), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan lain-lain yang berganding bahu dalam memajukan pergerakan dan perkembangan komuniti startup di negeri ini.”
“Negeri Terengganu dipilih sebagai salah satu destinasi siri jelajah ini berikutan pembangunan infrastruktur yang pesat dijalankan seperti pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka akan menjadi pemangkin bagi merancakkan lagi aktiviti-aktiviti yang berkaitan startup sekali gus melahirkan syarikat-syarikat yang berpotensi tinggi khususnya dalam sektor sains, teknologi dan inovasi (STI).
Perancangan ini secara tidak langsung dapat melonjakkan lagi pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri Terengganu yang dicatat sebanyak 3.6 peratus pada tahun 2021,” katanya.
Program MYStartup yang dilancarkan Februari 2022 bertujuan memperkasakan ekosistem dan komuniti startup di Malaysia melalui pengisian yang menumpukan kepada pembangunan, perkembangan startup secara mampan, pembangunan kapasiti serta modal insan. Antara aktiviti sepanjang jelajah adalah sesi taklimat mengenai inisiatif MOSTI serta hala tuju startup negara dan rundingan bersemuka di antara agensi pembiaya, rakan strategik setempat dan dari luar Terengganu.
Pada majlis yang sama, YB Datuk Haji Ahmad Amzad Bin Hashim telah menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Cradle dan TD1303 berkaitan program-program pemerkasaan startup di pantai timur khususnya di Terengganu.
Melalui usaha sama ini, TD1303 akan menjadi rakan komuniti rasmi bagi ‘MYStartup Chapter Terengganu’ untuk terus menyantuni dan menyokong usaha dalam meningkatkan kualiti ekosistem startup setempat.
Pada masa yang sama, pihak Cradle juga akan menyokong program-program pembangunan ekosistem startup anjuran TD1303 di negeri Terengganu.
Kerjasama antara MOSTI, Cradle dan pemegang taruh ekosistem startup setempat dalam siri jelajah ini menunjukkan komitmen dan iltizam MOSTI untuk mencapai sasaran dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai salah satu daripada 20 ekosistem startup terbaik global.
Maklumat lanjut mengenai MYStartup, sila layari portal MYStartup di www.mystartup.gov.my.