Cyberjaya, 28 September 2022- Kumpulan EMKAY, melalui anak syarikatnya Zen Bestari Sdn Bhd, hari ini menyerahkan kunci secara simbolik kepada sepuluh pemilik pertama, Fasa satu The Mulia Residences (TMR), Cyberjaya. Majlis yang disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican menyaksikan penyerahan Fasa Pertama, hartanah rumah teres tiga tingkat premium yang pertama seumpamanya dibina oleh Kumpulan EMKAY di Cyberjaya.
Pembangunan TMR Fasa Satu dan Fasa Dua rumah teres tiga tingkat premium ini merangkumi nilai pembangunan kasar berjumlah (GDV) RM463 juta. Fasa Satu mempunyai unit kediaman sebanyak 250 unit, manakala Fasa Dua mempunyai 133 unit. Rumah yang ditawarkan adalah berkeluasan daripada 2,203 3,275 kaki persegi, dengan harga permulaan daripada RM898,888 sehingga RM2.5 juta.
“Pembangunan beranugerah kami ini telah mencapai taraf keseimbangan antara reka bentuk dan harga, yang saya percaya merupakan faktor pendorong utama pembeli-pembeli kami,” kata Pengerusi Eksekutif Kumpulan EMKAY, Dato’ Fazwinna Tan Sri Mustapha Kamal.
Kumpulan EMKAY juga turut serta menyokong inisiatif Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang diperkenalkan oleh kerajaan, yang juga merupakan faktor lain yang telah mendorong penjualan.
“Pembangunan The Mulia Residences untuk Fasa kedua kini berjalan seperti yang telah dijadualkan, manakala untuk Fasa Tiga yang merangkumi 417 unit apartment (kos medium), ianya akan dibuka untuk jualan tidak beberapa lama lagi” tambah Encik Jayasangaran Dhanapal, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EMKAY. “Kami telah melabur dalam pemasaran digital sebagai alternatif dalam norma baharu sekarang dan usaha ini telah memberikan rangsangan positif kepada penjualan,” tambah beliau lagi. Projek The Mulia Residences ini disasarkan untuk siap sepenuhnya pada tahun 2026.
Keseluruhan projek kediaman ini diilhamkan daripada unsur-unsur seni bina tropika yang disesuaikan dengan iklim tempatan dan ia menyerupai rumah kampung tradisional Melayu. Unit-unit TMR di reka untuk memaksimumkan pengudaraan silang dan mengurangkan penahan haba, sekaligus menghasilkan persekitaran tempat tinggal yang lebih sejuk. Ini ditambah dengan lanskap, taman rekreasi di setiap ruang yang sedia ada (pocket land) yang mana menambah lagi keharmonian serasi dengan tema kehidupan bermasyarakat di The Mulia Residences.