KUALA LUMPUR, 28 SEPT. – Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) terus memperkasakan advokasi dan promosi perancang keluarga bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia terhadap kaedah serta keperluan perancang keluarga melalui Forum Take Control 2022 anjuran bersama Eurodrug Laboratories Malaysia dan CARiNG Pharmarcy.
Ketua Pengarah LPPKN, Tuan Haji Abdul Shukur berkata, “Malaysia menunjukkan kadar prevalens kontraseptif yang stagnant sejak 30 tahun lalu iaitu pada kadar 52.5 peratus (%) dan terendah berbanding negaranegara Asia lain. Daripada jumlah itu, 34.3 peratus (%) mengamalkan kaedah moden manakala 17.9 peratus (%) mengamalkan kaedah tradisional.”
Justeru menurut beliau, program advokasi pendidikan dan promosi perkhidmatan perancang keluarga sentiasa diperkasakan dan menggesa lebih banyak badan-badan korporat bidang kesihatan serta badan bukan kerajaan atau NGO turut bersama-sama menjayakan usaha ini bagi mencapai matlamat penurunan kadar unmet need dalam kalangan masyarakat.
Pada masa sama, usaha promosi dan advokasi turut terkandung dalam Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) ketiga (3) iaitu memastikan kehidupan yang sihat dan mempromosikan kesihatan kepada semua tidak kira umur dan matlamat kelima (5) iaitu kesaksamaan gender serta pengukuhan kepada semua wanita tercapai menjelang 2030.
Forum ini membariskan empat (4) panel iaitu Prof. Datuk Dr. Harlina Halizah Hj. Siraj@Hj. Ramli, Pakar Perunding O&G, Pengasas dan Pengarah Akademi Dr. Har, Dr. Wan Hilya Munira Mustapha, Pegawai Perubatan, LPPKN, Fatin Zafira Mohd Yassim, Ahli Farmasi CARiNG Pharmacy dan selebriti jemputan, Ummi Nazeera.
Turut hadir, Hairil Fadzly Md. Akir, Timbalan Ketua Pengarah Dasar LPPKN, Dr. Azizuddin Mohd Yussof, Pengarah Bahagian Reproduksi Manusia LPPKN, Susan Yap, Pegawai Jualan dan Pemasaran Eurodrug Laboratories Malaysia serta Loo Jooi Leng, Pengarah Pemasaran CARiNG Pharmacy.