RANTAU PANJANG, 1 Okt. – FELCRA Berhad sedang mempertimbangkan untuk melupuskan hutang lapuk lebih 30 tahun berjumlah RM230 juta melibatkan 20 ribu pesertanya di seluruh negara.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, hutang dari generasi pertama itu tidak dapat diselesaikan dan kekal sehingga beberapa generasi.

“Kita kaji masalah di seluruh negara ni, ada yang berkaitan dengan hutang tertunggak, peserta FELCRA yang banyak, ada lebih kurang 20 ribu peserta FELCRA.

Kita sedang muktamadkan bagaimana nak melupuskan hutang tu dan kita akan bincang perkara ini, lebih baik kita cari jalan untuk elak generasi yang akan datang berdepan masalah sama.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah Mini Karnival Keluarga Malaysia FELCRA Berhad di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Datuk Mat Roni Zakaria.

Jelas Mahdzir, hutang lapuk itu adalah kos perbelanjaan pengurusan tanah dan penanaman kelapa sawit bagi pihak pesertanya yang perlu ditolak selepas hasil kelapa sawit dituai.

Bagaimanapun hasil tuaian kelapa sawit di tanah pesertanya tidak memadai untuk membayar balik kos yang dibelanjakan oleh FELCRA sebelum itu, menyebabkan akaun pesertanya direkodkan sebagai berhutang dengan pihak FELCRA sehingga diwarisi kepada generasi peserta FELCRA hari ini.

“Dia orang bayar secara bulan, ikut pendapatan, jadi hutang awal itu, nak tolak tanah, nak tanam pokok, nak pagar, itu dikira semua sekali itu atas satu individu, atas satu peserta, kemudian 5 tahun kemudian, tanah dia dapat hasil barulah start nak potong.”

Justeru Mahdzir berkata, pihaknya kini sedang mencari jalan untuk menyelesaikan hutang lama itu bagi mengelakkan masalah sama dihadapi generasi selepas ini.

Pengurusan FELCRA menurut beliau, akan membuat permohonan kepada kerajaan untuk melupuskan rekod hutang lapuk itu di peringkat Kementerian Kewangan.

Leave a Reply