KUALA LUMPUR, 30 Oktober 2022 – Yang Berhormat Datuk Halimah binti Mohamed Sadique hari ini merasmikan Pertandingan Koir Perpaduan Keluarga Malaysia, Piala Menteri Perpaduan Negara Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bersama rakan strategik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan 130 jumlah penyertaan kumpulan koir di seluruh negara.
Sebanyak 16 pasukan terbaik wakil daripada setiap negeri telah ditampilkan di peringkat kebangsaan bagi merebut Piala Menteri Perpaduan Negara Tahun 2022.
Menurut Datuk Halimah, objektif utama penganjuran pertandingan ini adalah untuk menyemai semangat cintakan bahasa dan menyemarakkan lagi jalinan perpaduan dalam Keluarga Malaysia dengan meletakkan penglibatan pelbagai kaum dalam syarat utama pertandingan. Persembahan seni koir ini juga dilihat sangat berpotensi untuk dijadikan sebagai salah satu lantai penyatupaduan masyarakat berbilang bangsa selari dengan hasrat Kementerian untuk memperluaskan lagi eksplorasi tapak-tapak integrasi nasional.
Johan bagi pertandingan ini telah disandang oleh Kumpulan The North Harmony, dari negeri Sabah yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM10,000.00, Piala Menteri Perpaduan Negara, trofi berserta sijil. Naib Johan dan tempat ketiga pula masing-masing dimenangi oleh Kumpulan Anak Seni Warisan Kenyalang dari Sarawak dan Kumpulan M.I.A Ensemble dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Kementerian sangat mengalu-alukan penglibatan pelbagai pihak dalam usaha merealisasikan agenda perpaduan negara. Kolaborasi strategik antara KPN dan DBP contohnya akan diperbanyakkan lagi agar usaha memperkukuh semangat kebersamaan di kalangan Keluarga Malaysia dapat terus dipertingkatkan” jelas Datuk Halimah.