Pada 23hb April 2022, ketika di pejabat saya 21-2, 3rd Miles Square Batu 3, Jalan Klang Lama, 58100 KL, saya telah membaca satu laporan berita di Sinar Harian bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhahanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan bahawa SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap Hakim Nazlan Mohd Ghazali yang telah menghakimi kes SRC terhadap mantan Perdana Menteri, Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Pada 16hb Ogos 2022, ketika di pejabat yang sama, saya telah membaca di Sinar Harian yang melaporkan bahawa Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Dato Sri Najib untuk memasukkan keterangan-keterangan baru berkaitan dengan konflik kepentingan Hakim Nazlan Mohd Ghazali melalui penglibatan peribadi beliau dalam urusan syarikat SRC dan 1MDB sebagai Ketua Peguam Am dan Setiausaha Syarikat Maybank Berhad.
Saya dimaklumkan oleh peguam Dato Sri Najib, bahawa dalam permohonan keterangan tambahan tersebut, Jabatan Peguam Negara melalui Afidavit Jawapan telah menafikan kenyataan di dalam Afidavit Sokongan Dato Sri Najib berkenaan dengan siasatan yang dibuat oleh SPRM terhadap Hakim Nazlan sedangkan Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri telah mengesahkan adanya siasatan terhadap Hakim Nazlan tersebut seperti yang dilaporkan dalam berita Sinar Harian pada 23 April 2022.
Pada 31 Oktober 2022, saya telah menerima melalui WhatsApp dua dokumen yang dikatakan salinan kertas siasatan terhadap Hakim Nazlan oleh SPRM. Mengikut kertas siasatan tersebut di ruang rumusan, pihak SPRM telah menyatakan bahawa terdapat satu kesalahan di bawah seksyen 220 Kanun Keseksaan oleh Hakim Nazlan.
Pada 29hb September 2022, saya telah membaca di Free Malaysia Today yang melaporkan bahawa Tan Sri Azam Baki memaklumkan siasatan terhadap Hakim Nazlan telah pun dilengkapkan oleh SPRM. Mengikut artikel tersebut, siasatan telah dilengkapkan seawal bulan Mei 2022 tetapi kertas siasatan telah dipulangkan kepda SPRM pada awal September 2022 dan kemudian SPRM telah melengkapkan kertas siasatan tersebut dan menghantarnya semula ke Pejabat Peguam Negara pada 29 September 2022.
Walaupun pihak SPRM telah melengkapkan siasatan dengan cadangan satu kesalahan telah disyaki terhadap Hakim Nazlan, namun sehingga ke hari ini, Peguam Negara tidak membuat sebarang keputusan bagi pendakwaan terhadap Hakim Nazlan bagi kesalahan yang disyaki terhadapnya dan yang dicadangkan oleh pihak SPRM sendiri.
Saya membuat laporan ini supaya pihak Polis Diraja Malaysia dapat menyiasat perkara berikut: 1) Kesahihan kertas siasatan SPRM yang tular tersebut kerana setelah sekian lama tiada sebarang penafian atau pengesahan dari SPRM. 2) Mengapa Jabatan Peguam Negara menafikan di dalam Afidavit Jawapan bahawa terdapat siasatan SPRM terhadap hakim Nazlan sedangkan pada 23 April 2022, SPRM sendiri telah mengesahkan wujud siasatan terhadap Hakim Nazlan. 3)Menyiasat Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun kerana disyaki seolah-olah cuba melindungi Hakim Nazlan, kerana saya percaya bahawa tanpa sebarang alasan kukuh, tindakan Peguam Negara melambat-lambatkan pendakwaan terhadap Hakim Nazlan adalah sangat mengecewakan dan ini akan membawa kepada persepsi yang negatif terhadap perjalanan sistem keadilan di Malaysia.