Kuala Lumpur – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan menyediakan sebuah platfom khas bagi melibatkan peranan netizen dan rakyat khususnya para pengundi dalam menilai setiap calon yang bertanding dalam PRU15 ini. Ini berikutan terlalu banyak rungutan dan sungutan rakyat mengenai prestasi dan sikap wakil-wakil rakyat yang telah dipilih selama ini.
Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan atau Toqqi, menyedari hakikat ini maka PPIM terpanggil untuk menyediakan satu platfom khusus untuk membolehkan rakyat menyuarakan rungutan dan sungutan mereka itu secara dalam talian.
Dengan ini, maka keterlibatan rakyat dalam memberikan pendapat mereka akan menjadi lebih berkesan dan bukan setakat membuang undi sahaja. Platfom ini akan membolehkan setiap calon dipantau dan dinilai tahap kelayakan mereka untuk mewakili dan membela rakyat di kawasan yang mereka tandingi.
Semua ahli-ahli Yang Berhormat dan bakal-bakal ahli Yang Berhormat tidak akan terkecuali dari dinilai termasuk Menteri-menteri, Timbalan-timbalan Menteri, malah Perdana Menteri serta Timbalannya sekali dan mereka juga tidak bebas dari sebarang teguran dan keluhan rakyat dari pelbagai lapisan.
Tambah Nadzim, melalui platfom ini juga, pelbagai pihak NGO juga menapis setiap wakil rakyat yang bertanding agar mereka dipastikan bebas dari kelakuan yang tidak bermoral dan tidak berakhlak baik.
Melalui platfom ini juga syor dan rekomendasi calon terbaik juga akan diberikan melalui sistem pemarkahan yang adil.
Pihak NGO juga mengharapkan agar rakyat membuka mata dan tidak membuat kesilapan dalam pemilihan wakil rakyat akan datang.
PPIM bersama semua NGO mengambil pendirian menyokong calon-calon yang daripada kumpulan mereka yang berwibawa dan berintegriti tanpa mengira parti mengikut penilaian PPIM sendiri.