5 NOVEMBER 2022, BANGI– Pertandingan Futsal dan Bola Jaring Liga Sukan UNITI Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 telah berlangsung di Uptown Sports, Bandar Baru Bangi.

Program anjuran bersama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini telah menerima penyertaan melebihi 12,000 peserta seluruh Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan peringkat usia. Dua acara sukan yang dipertandingkan adalah futsal dan bola jaring. 

Objektif penganjuran pertandingan ini adalah untuk menyemai semangat kerjasama berpasukan dan mengukuhkan jalinan perpaduan Keluarga Malaysia melalui platform sukan.

Syarat utama yang diletakkan bagi penyertaan dalam pertandingan ini adalah setiap pasukan perlu memenuhi kritirea kepelbagaian kaum.

Nilai toleransi dan kebersamaan yang wujud dalam acara sukan seperti ini adalah tunjang utama dalam membentuk Keluarga Malaysia yang sejahtera dan harmoni. 

Johan bagi pertandingan futsal ini telah disandang oleh negeri Kedah dengan membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM10,000.00, trofi berserta sijil. Naib Johan dan tempat ketiga pula masing-masing dimenangi negeri Melaka dan negeri Johor.

Pertandingan bola jaring pula dimenangi oleh pasukan dari negeri Sabah yang turut membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM10,000.00, trofi berserta sijil. Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan negeri Selangor masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga bagi acara bola jaring. 

“Kolaborasi strategik antara KPN dan KBS ini merupakan salah satu usaha menyemarakkan lagi semangat perpaduan Keluarga Malaysia melalui bidang sukan. Bidang sukan adalah agen utama perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia dan medium seperti ini memberi ruang kepada kita untuk saling berinteraksi dalam suasana harmoni.” jelas Datuk Halimah.

Leave a Reply