Seperti yang sedia maklum, telah tular pernyataan rasmi daripada Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menafikan secara tuntas sebarang tekad kerjasama antara Perikatan Nasional dengan Barisan Nasional dalam pada fokus adalah demi mendapatkan mandat rakyat pada PRU15 tanpa menginginkan sebarang kerjasama utamanya dengan Barisan Nasional dalam mencapai misi sebuah kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil buat rakyat.
Hal ini adalah jelas apatah lagi Barisan Nasional yang dipelopori UMNO masih dipimpin pimpinan tertingginya iaitu Zahid Hamidi yang merupakan tertuduh di mahkamah dan terpalit dengan kes pecah amanah dan salah guna kuasa dalam pada tetap dijulang para pimpinan dalam Barisan Nasional di samping parti tersebut kekal mempertaruhkan mereka-mereka yang terpalit dengan kes-kes salah laku di mahkamah sebagai calon PRU15.
Justeru persoalan perlu dilontarkan dan ingin ditanyakan kepada Rafizi Ramli, adakah beliau bersetuju dengan jajaran baru atau sebarang kerjasama antara Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional? Kerana beliau langsung tidak pernah menyentuh mengenai penyatuan antara PH dan BN sedang dalam ceramah-ceramah Rafizi ada menghentam mengenai kejujuran PAS sebegitu mempersoal dengan angkuh dan bongkak keupayaan Perikatan Nasional.
Maka Rafizi Ramli perlu menjawab adakah sekiranya PH tidak berupaya untuk mendapat majoriti mudah 112 kerusi di Parlimen, jadi PH akan beri talian hayat kepada Zahid Hamidi semata-mata untuk mengangkat Anwar Ibrahim menjadi PM? Parti seperti DAP juga bererti sudah bersedia untuk memuja UMNO sebagai sebahagian pakatan mereka? Tiba masanya Rafizi menjawab dengan jelas, bukannya pusing dan berdalih macam isu kekayaan milik beliau.
MOHD ASHRAF MUSTAQIM BIN BADRUL MUNIR
Timbalan Ketua Penerangan 1,
Pemuda Perikatan Nasional Malaysia merangkap Ketua Penerangan ARMADA Malaysia
15 November 2022