PADANG TERAP, 17 Nov – 10,971 pekebun kecil di daerah Padang Terap menerima manfaat menerusi pelbagai program Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, antara programnya termasuk tanam semula getah, produktiviti dan pemasaran getah, hasil baharu serta keusahawanan yang telah meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

“RISDA telah menetapkan sasaran bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil dengan purata pendapatan sebanyak RM4,500 sebulan sekeluarga menjelang akhir tahun 2025.

Dengan nilai peruntukan sebanyak RM13.04 juta bagi daerah ini, saya yakin RISDA telah memastikan keseluruhan projek pembangunan yang telah dirangka dilaksana dengan sebaik mungkin demi kepentingan pekebun kecil.”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil RISDA Makmur Negeri Kedah dan ‘Kenuri’ Rakyat di Kampung Nako, Belimbing Kanan di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal, Pengarah KPLB Kedah/Perlis/Pulau Pinang, Norshuhaidy Shabudin dan Pengarah RISDA Kedah, M Azmi Mohd.

Jelas Mahdzir, menerusi Bajet 2023, RISDA diperuntukkan sejumlah RM315 juta bagi program pembangunan kawasan bertanam getah.

Manakala RM40 juta lagi bagi pembangunan hasil baharu untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

“Peruntukan itu menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa positif dan menyokong segala bentuk pembangunan pekebun kecil demi peningkatan sektor industri getah.

Penyaluran ini juga dilihat akan memastikan bukan hanya sektor industri sahaja yang mendapat manfaat, tetapi komuniti pekebun kecil juga mendapat nikmat daripada rantaian pembangunan itu sendiri.”

Leave a Reply