PENDANG, 18 Nov – Isu tanah pertanian terbiar dalam kawasan komuniti luar bandar antara perkara yang akan diberi keutamaan oleh Barisan Nasional (BN) sekiranya diberi mandat untuk terus membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara agensi yang bakal digerakkan bagi mengatasi masalah itu adalah FELCRA yang mempunyai kepakaran dalam penyelesaian masalah itu.

KPLB katanya bersama FELCRA sebelum ini sudah mempunyai perancangan untuk menyatukan tanah-tanah terbiar di kawasan milikan agensi itu untuk dibangunkan dengan pelbagai projek pertanian yang mampu membawa keuntungan kepada pemilik tanah.

“Langkah ini membawa kesan yang lebih ekonomik buat rakyat. Kalau pemilik tanah nak bangunkan tanah dimilikinya secara berseorangan, itu mungkin tidak ekonomik kerana saiz tanah dimiliki mereka mungkin kecil.

“Jadi kita gabungkan tanah-tanah di kawasan berhampiran dan bangunkan dengan sistematik secara bersekali. Langkah tersebut mampu memberi kesan lebih produktif kepada penduduk terutamanya di luar bandar.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Kempen Pembukaan Tanah Terbiar dan Tanam Semula FELCRA Berhad di FELCRA Perupok, dekat sini, hari ini.

Tambahnya, isu tersebut merupakan antara tumpuan utama yang diberikan perhatian oleh kementeriannya kini.

“Usaha tersebut turut memerlukan kerjasama dari kerajaan negeri kerana hal tanah ini terletak di bawah bidang kuasa mereka, jadi usaha ini memerlukan kerjasama yang baik antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Tak bolehlah kita panda-pandai laksanakan sebab ini melibatkan kerajaan negeri. Kita akan bincang apa syaratnya dengan kerajaan negeri dan adakan kolaborasi dengan mereka,” katanya.

Leave a Reply