SEPANG, 16 Disember 2022 – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) telah membawa masuk telur ayam dari negara luar untuk menampung kekurangan bekalan telur yang sedang dihadapi oleh Negara sejak beberapa bulan yang lalu.

Kementerian telah membenarkan kemasukan telur ayam dari negara India pada hari ini melalui laluan udara sebagai fasa percubaan bagi memastikan telur ayam yang diimport menepati segala piawaian yang ditetapkan.

Kementerian melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk secara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza.

Pengujian yang dijalankan ini adalah bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat, bersih, halal dan bebas dari segala penyakit di samping melindungi industri penternakan negara. Segala protokol dan tatacara yang ditetapkan oleh Kerajaan juga telah dipatuhi tanpa kompromi.

Hasil ujian yang dilaksanakan oleh MAQIS dan DVS mendapati telur ayam yang diimport bebas dari segala penyakit, selamat dan mematuhi segala piawaian yang ditetapkan bagi kegunaan pasaran negara. Sehubungan itu, Kementerian bersetuju memberikan kebenaran sementara kemasukan telur ayam daripada sumber luar dan kebenaran ini akan dikaji semula apabila bekalan telur dalam negara kembali stabil.

Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukanlah untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan kecukupan bekalan telur ayam dalam negara dengan harga yang kompetitif selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan kebajikan rakyat.

#ReopeningSafely #EndemikMalaysia

16 Disember 2022

Leave a Reply